Didalam novel The Terminal Man oleh Michael Crichton (juga menulis Jurassic Park, Timeline), beliau ada menyebut bahawa "didalam arus modernisasi, mesin menjadi semakin manusia dan manusia menjadi semakin mesin." Sudah tentu idea sebegini mempunyai akarnya sendiri didalam falsafah peradaban manusia. Tak silap muncul dizaman pencerahan tetapi aku sudah lupa pula siapa pelopornya.
Apa yang beliau maksudkan dengan "mesin menjadi semakin manusia" adalah mesin-mesin kini mengambil tempat yang semakin penting didalam kancah kehidupan manusia. Kita menggunakan lampu isyarat didalam mengatur perjalanan, jentera-jentera dipertanggungjawabkan dengan kerja buruh, dan komputer-komputer super yang memacu ketamadunan. Kita juga lebih selesa dengan laman sosial berbanding berjumpa antara satu sama lain. Pendek kata, dependesi manusia terhadap mesin semakin memerlukan.
Jadi kita beralih pula kepada persoalan seterusnya, apa yang dimaksudkan dengan "manusia menjadi semakin mesin?"
Inilah soal yang menakutkan. Michael Crichton memberitahu kita (pembaca) menerusi monolog salah seorang wataknya (dan ini juga aku lupa). Berbalik kepada idea pertama, idea kedua adalah pantulan daripadanya. Manusia, didalam abad modernisasi, semakin mengharap kepada jentera, dan mereka secara tidak sedar bermetamorfosis kepada jentera-jentera itu sendiri.
Kita menurut jadual yang ditetapkan, kita hanya akur kepada apa yang sudah diberitahu (diprogramkan), kita melalui fasa-fasa yang rumit didalam pendidikan, kemampuan kita diuji, jika layak, menjadi mesin yang semakin bernilai, dan jika gagal, dibuang sepersis besi buruk. Kita juga hilang kemanusiaan. Kita menghadapi barah nihilism yang parah (seperti dibilang Albert Camus). Kita sentiasa mahu cepat, mahu pantas, tetapi kemana kita mahu pergi sebenarnya?
Tidak cukup dengan itu, manusia semakin resah gelisah. Walaupun kita ditawarkan modernisasi materialisme, tetapi kita masih jiwa-jiwa yang hilang punca. Manusia akan tetap mengakhiri jiwanya ddengan pahit dimana-mana wilayah didunia walaupun kononnya ketamadunan homo sapiens sudah "menjulang ke peringkat tertinggi". Mengapa ini berlaku?
Aku sendiri buntu mengapa soal-soal sebegini tiba-tiba meledak. Mungkin kerana apabila aku mencuci muka pagi tadi, aku melihat kembali aku yang satu lagi itu dan merasa seolah ada satu kehilangan. Ya, kehilangan yang tak bisa aku kembali mengingat, meninggalkan rompong yang sebegitu luas dan dalam. Lubang hitam didalam jiwa yang berkecamuk.
Aku mahu saja jerit padanya, "aku bukan mesin!" tetapi sudah tentu, ia terlanjur. Kulitku merekah, mataku terjebol keluar, dan telingaku gugur. Dari serpihan itu seketul besi logam muncul menyapaku dari sebalik cermin.