Quantcast
Channel: Tinju & Peluru
Viewing all 62 articles
Browse latest View live

Monolog mendukung bayi kecil.

$
0
0
Caulfield menjaga kanak-kanak daripada terjatuh. Lukisan oleh William Marchant.


Aku memandang mata bayi itu lama-lama. Bayi itu di dalam dukunganku sekarang. Umurnya sudah menginjak setahun dan pesta kek coklat dan bungkusan nasi lemak dilontarkan untuk meraikan hari ketiga ratus enam puluh lima bayi itu hidup di dunia manusia.  Aku ingin bertanyakan bayi itu bagaimana rasanya meninggalkan alam roh dan memasuki dunia fana ini, tetapi sudah tentu itu absurd. Budak ini bukannya Nabi Isa. Dan mungkin ia tidak ingat pun.

Memandang mata bayi ibarat kita memandang ke kolam yang jernih, ia memantulkan kita semula pada permukaannya.

Aku terfikir, betapa jernihnya bayi ini daripada kekotoran dunia dewasa. Bayi ini hanya tahu ketawa apabila disusukan ibu, merengek apabila perutnya lapar, dan terlopong apabila melihat Upin & Ipin berkata 'betul betul betul' di kaca televisyen. Pendek kata, bayi asing daripada dunia dewasa yang rumit dan keras.

Dan aku membayangkan lagi, bagaimana pula bila bayi ini sudah menginjak dewasa nanti? Sudah pasti dia akan diuji oleh pelbagai unsur-unsur alam kedewasaan yang aneh itu. Hal-hal seperti politik, agama, seksualiti, nasionalisme, serta kemurungan hidup dan lain-lain lagi masalah kewujudan pasti akan mendatanginya - samada ia mahu atau tidak. Lalu, bagaimanakah bayi di dalam dukungan aku ini akan menghadapinya? Adakah dia akan jadi seorang aktivis? Adakah dia akan mengurungkan diri di kamar dan jadi pengarang? Atau lebih menyesatkan, dia hanya jadi seorang warga tidak peduli dan teruskan hidup seperti biasa, meskipun dalam dunia yang sedang terbakar?

Semasa aku membaca The Catcher In The Rye beberapa tahun lalu, aku banyak temui persamaan diriku dengan Holden Caulfield. Misal kata, kami sentiasa memandang dunia kedewasaan sebagai sesuatu yang poyo. Kami selalu bermain dengan monolog-monolog kecil di dalam minda kami sendiri dan kami suka untuk memerhatikan keliling. Lanjut lagi, kami juga ada semacam sentimen terhadap kanak-kanak: bahawa kami mahu melindugi anak-anak kecil daripada kedewasaan, seperti si catcher di pinggir rye. Dalam analogi ini, Holden mengibaratkan dirinya sebagai seorang penjaga kanak-kanak. Dia mahu kanak-kanak kekal dalam kejernihan mereka sebagai budak dan tak tergelincir ke gaung kedewesaan yang poyo dan pura-pura itu. Dia mahu anak-anak terus bermain dan berlari dan hidup sebebas-bebasnya.

Tapi sudah tentu, itu juga menyalahi hukum alam. Dengan berjalannya masa, kanak-kanak juga akan mendewasa. Mereka akan membesar dan akhirnya mempunyai pandangan-pandangan mereka yang tersendiri terhadap masyarakat serta dunia yang mereka diami. Mungkin mereka akan jadi agnostik atau komunis atau homoseksual, atau barangkali juga tidak. Semua ini bergantung kepada sifat naluri mereka serta persekitaran-persekitaran yang mereka didedahi.

Tiba-tiba, bayi kecil di dalam dukunganku terbersin. Hingusnya meleleh tertempel pada wajahku. Aku nak marah. Tapi tak jadi melihat senyum bayi itu memandang reaksiku. Dia ketawa nakal dan semua orang di rumah itu turut ketawa melihat gelagat kami. Baru aku sedar: barangkali aku tak perlu jadi Catcher in the Rye pun. Barangkali aku hanya perlu membina tangga dan memastikan kanak-kanak ini menuruni gaung kedewasaan dengan selamat tanpa perlu terjatuh terbabas.

Ya, alam dewasa tidaklah teruk sangat. Setakat ini. Lalu aku pergi ke meja dan dapatkan tisu sambil tersenyum.

Nokturnal di Pantai Acheh.

$
0
0
.


Kereta kami meredahi malam Klang. KB memasang api pada rokoknya dan aku menurunkan tingkap.  Radio sedang memasang lagu entah apa. Kereta kami melalui jalan yang berlubang sana-sini, dengan lori-lori besar memecut-saing kami di sebelah kanan. Sesekali angin pecutan mereka menyusup masuk ke dalam kereta kancil kami. Bergoyangan. Disertakan sekali dengan bau asap enjin dan aspal jalan yang hangus.

Tanda terpampang di depan: Pelabuhan Selatan.

"Jalan di sini memang kasar, sekasar orangnya." Kata KB di antara hembusan rokok.

Aku angguk. Di kananku, beberapa corong asap tegak berdiri dengan lampu lip-lap merah di hujung mulut. Sejenis bau aneh merasuki sekali udara malam - apakah ia bahan kimia? Besi yang lebur? Atau plastik-plastik yang dibentuk untuk menjadi cawan sarapan kami esok di McDonalds?

"Lagi dua puluh minit, kita akan sampai. Kau pasti nak pergi?" Soal KB.

"Ya," kataku. "Jom buat kerja gila. Kita cari pantai rahsia yang kau ceritakan awal petang tadi. Hujung pulau pun tak apa."

Senyuman KB menjadi bayang di bawah lintasan lampu jalan. Aku memandang terus ke depan. Kemudian ke jam yang diprogramkan di dalam telefon: 11.45 malam.

Malam masih muda, fikirku. Pulau Indah menanti kita.


*********


Hujung Pulau Indah benar-benar kelihatan seperti di hujung dunia. Kereta kami terpaksa meredahi jalan-jalan tak berlampu sepanjang beberapa kilometer sebelum kami tiba di persinggahan. Bau asin laut mati menerpa-nerpa. Angin memukul-mukul. Tiada bunyi ombak. Aku melihat ke luar. Gelap. Hanya cabang-cabang halus dahan saja yang terbentuk - seperti kuku syaitan yang sedang ingin mengoyak pantai dari perut lautan. Kami jalan ke depan lagi. Seekor anjing hitam muncul. Matanya merah. Ia menatap kami. Langsung tak mengelak. KB memusingkan stereng. Selepas ditinggalkan beberapa jauh, KB memandangku.

"Itu bukan anjing."

Aku faham itu dan aku tidak mahu mengulas lanjut. Kereta bergerak terus.

"Kenapa nama tempat ini Pulau Acheh?" Tanyaku.

"Kerana tempat ini berhadapan dengan Acheh, Champ. Sini, orang selalu datang untuk memancing. Selalunya kitar 4 pagi gitu."

Ranting-ranting berdiri di tepi pantai seperti hantu-hantu dari masa silam yang dilupakan. Aku cuba bayangkan tempat ini waktu siang. Apakah matahari akan menumpahkan warnanya kepada pinggir pulau ini - biru kepada laut, putih kepada pasir, dan hijau kepada dahan-dahan yang masih bersisa daunnya? Aku tidak pasti. Gelap tumpat tempat ini seperti menafikan keindahan semacam itu. Seolah-olah pantai ini sudah terhukum dengan monokrom yang tak berbagi. Yang menyusupkan bisik-bisik sunyi kepada orang yang ingin mengunjungi pesisirnya, seperti - pulanglah ke tempat asalmu. Atau, kau takkan temui apa-apa di sini melainkan tulang-tulang yang bertaburan. Seperti mimpi.

Kami mematikan enjin dan bersandar pada pintu. KB sekali lagi menyalakan rokok. Kami memandang dua kapal nelayan yang bersiram di bawah lampu rembulan. Diam. Kemudian angin bertiup lagi, menyilir rumput-rumput di lereng perbukitan tidak jauh daripada tempat kami berehat. Aku sendiri tidak pasti apa sebabnya kami ingin ke sini. Tapi kami sudah sampai dan Pantai Acheh menyambut kami seperti kawan dengan dakapan yang paling sunyi.


**********


Kami di jeti sekarang. Kapal-kapal nelayan bertenggek di muara. Dua cawan teh susu. Sekotak rokok murah. Sebuah televisyen yang membincangkan perihal isu-isu nasional. Tiga ekor kucing berkeliaran di meja kami (salah seekornya buta sebelah mata). Dan sekumpulan nelayan pelbagai bangsa yang bermain kad di meja sebelah. Ada melayu, jawa, dan barangkali juga india. Mereka bercakap kuat. KB kata, orang-orang tempatan sini memang berfiil sebegitu. Kadang-kadang, mata curiga mereka terjatuh pada tubuh kami. Kami menyedari itu. Meneguk lagi teh dalam diam dan penuh waspada. Salah seorang daripada mereka menyebut mengenai seorang pelacur tua yang ditemui mati di flat usangnya. Mati dengan pil overdose, katanya. Kemudian suaranya tenggelam dalam propaganda-propaganda kerajaan dari kotak televisyen yang kabur-kabur siarannya.

Cawan dikosongkan lalu kami membayar dan pulang. Apabila kereta mulai bergerak, mereka memandang lagi ke arah kereta kami, sebelum kami hilang dalam persimpangan dan menghala semula ke kota besar.


**********


Di sebuah stesen minyak di Bandar Klang, kami mengisi minyak dan mendapatkan dua botol air mineral. Jam sudah bertanda: 4 pagi. Jalan di sebelah kami sunyi. Hanya dua tiga lori yang melintasi membawa muatan-muatan pelabuhan. Aku memandang KB, "sini memang mati waktu malam?"

"Sini Klang, kawan." Jawab KB. "Semua orang sudah tidur. Hanya si nokturnal, patah jiwa, dan samseng jalanan saja yang masih berjaga."

Kereta kami membelah pagi dingin, menghala Shah Alam dengan kelajuan yang paling minimal. Entah kenapa, tiba-tiba dalam perjalanan pulang, aku sangat pasti bahawa aku tidak boleh tidur lagi untuk malam ini. Dan malam esok, dan malam-malam yang bakal mendatang.
Viewing all 62 articles
Browse latest View live




Latest Images

Vimeo 10.7.0 by Vimeo.com, Inc.

Vimeo 10.7.0 by Vimeo.com, Inc.

HANGAD

HANGAD

MAKAKAALAM

MAKAKAALAM

Doodle Jump 3.11.30 by Lima Sky LLC

Doodle Jump 3.11.30 by Lima Sky LLC