Quantcast
Channel: Tinju & Peluru
Viewing all 62 articles
Browse latest View live

Apa yang aku rasa selepas aku baca The Wind Up Bird Chronicle.

$
0
0
Inilah bukunya.

Sesudah aku habis membaca The Wind up Bird Chronicle oleh Haruki Murakami, minda aku menjadi rancu. Aku memandang jauh melintasi tingkap dan cuba memikirkan review apa yang terbaik untuk aku muatkan kedalam internet nanti. Aku mengambil sebatang Winston Light dan menghisapnya, semoga ilham hadir bersama nikotin yang mencari jalannya merasuk paru-paru bersihku.

Tidak semena-mena, ada tangan yang besar muncul entah dari awan mana dan menarikku keluar. Ia genggam tubuhku erat dengan penuh rakus, dan tanpa memberitahu apa-apa, ia membawa aku jauh dari rumahku tadi. Aku ingin memarahinya kerana rokok yang aku sedang hisap itu masih belum habis tapi apakan daya, awan itu hanya ada tangan -  ia tidak mempunyai telinga untuk mendengar celotehku.

Sesudah lima minit kemudian, aku dicampak kedalam sebuah perigi buta yang dalam. Aku tidak sempat mengingati nama-nama jalan atau perkampungan yang aku lalui sepanjang perjalanan tadi. Tapi semua itu sudah tidak penting, kerana aku sudah berada jauh dari peradaban manusia. Barangkali tempat ini lebih sesuai untuk aku berfikir akan review yang aku mahu tuliskan sebelum ini.

Jadi jika kamu tertanya-tanya mana aku tulis review ini, ya, aku sedang menulisnya didalam sebuah perigi buta yang tempatnya tidak aku pasti. Tetapi sekurangnya aku tidak kesunyian, kerana ada seekor kucing comel bernama Mackerel ada disana menemaniku. Jika aku ditinggalkan keseorangan, sudah tentu aku akan jatuh gila kesepian. Sudah tentu.

Membaca Murakami akan membuat kamu tertanya, adakah buku ini sedang ditulis oleh orang Jepun? Perhatikan saja budaya dalamnya: watak-wataknya melayani The Beatles dan Miles Davis, membaca Herman Hesse, memakan Spaghetti, ruangan yang diberikan untuk Pop Barat terlalu besar sehinggakan tiada ruang Budaya Jepun dibiarkan bernafas. Haruki tidak menulis demi budaya orang-orangnya, dia tidak seperti itu. Dia berbeza, dia seorang Jepun yang di-westernized-kan melalui pembacaan dan muzik-muzik Jazz. Jika orang-orang negara matahari terbit itu mahu menjulang seseorang sebagai simbol counter-culture, maka barangkali Murakamilah yang paling mendapat tempat.

Protagonisnya pula selalunya berlingkaran lelaki ennui, pessimis, dan seolah-olah tiada matlamat hidup. Lihat saja Toru Watanabe atau Toru Okada, masing-masing sesat dalam pelayaran hidupnya sendiri. Watak perempuannya pula sebaliknya: perempuan-perempuan yang aktif dan gila-gila, cerdik, bebas, serta punya penuh persoalan diminda. Satu pertentangan terhadap budaya Jepun yang mengurung wanitanya disebalik kimono tebal, adat resam, dan upacara teh yang memakan masa 4 jam.

The Wind Up Bird Chronicle bermula dengan kehilangan - kehilangan seekor kucing kesayangan sepasang suami-isteri Toru Okada dan Kumiko Wataya. Toru kemudiannya keluar mencari kucingnya, dan dalam perjalanan, dia bertemu dengan pelbagai jenis orang aneh. Sepasang adik-beradik yang psychic, seorang ahli politik yang sombong, May Kaysahara yang suka bercakap pasal Kematian, dan cerita-cerita perang dari seorang veteran perang yang pasti menggugah rasa. Setiap dari mereka membawa kisah dan pengajarannya sendiri. Sudah tentu perbualan Toru dengan May sangat enak, isinya rangup dan diselaputi falsafah. Walaupun begitu, moralnya seperti tidak mempunyai bentuk. Ia ada disana, tetapi kita tidak dapat menyentuhnya. Kita mahu menggengamnya tetapi sesudah ia tercapai dek tangan, ia mencair dan melimpah keluar dari celahan jari. Dan itu membuat aku berasa geram sekali.

Dan imejan Haruki juga tidak mahu mengalah. Imejan cahaya yang turun kedalam perigi lewat tengahari dan kulit manusia yang merayap memang menganggu. Bagaikan sebuah mimpi seram, imejan-imejan surreal Murakami akan membuat kita lemas. Kita sudah tersedar dari mimpi tetapi rasa itu masih lagi kekal. Ia akan melekat kedalam memori kita sampai bila-bila. Suatu perasaan yang membingungkan. Barangkali sebab itu, surrealisme memang tidak pernah kering ditangan Murakami.

Ah, tiba-tiba aku berasa lapar pula! Amat menyedihkan sekali tangan besar itu tadi lansung tidak menyediakan apa-apa makanan untuk aku lahap dibawah perigi yang mati ini. Aku teringat akan Spaghetti yang aku panaskan didalam micro wave beberapa minit sebelum aku 'diambil' oleh tangan itu tadi. Aku teringat dunia luar dan bunga-bunga yang mekar diatas bumi, orang-orang yang hidup dikerangka rutin sama, dan hidup masyarakat yang penuh membosankan. Aku memandang keluar, mengharapkan tangan itu muncul dicelah bulan dan bintang, menarikku keluar semula, tetapi ternyata harapan itu sia-sia. Bunyi kicauan Wind Up Bird berjela-jela mengisi latar sunyi.

Aku sudah dibuang kedalam perigi imaginasi Murakami, dan perigi ini akan terus menghukum. Ia tidak akan memuntahkan aku kembali. Ia akan terus mengurung jiwaku dalam kegelapan dan kegelisahan sehinggalah jasadku mati, tulangku mereput, dan jika nasib kucing itu baik, mungkin ia akan sempat meratah dagingku nanti untuk sebuah survival.

Penyesalan terhadap babu.

$
0
0
Tadi seusai aku membeli dua bungkus roti pandan (sebungkus kira-kira dalam 60 sen) dari seorang babu roti di Sek U12, Shah Alam, aku pun bergegas ke apartmen dan memanaskan teh untuk dibuat supper. Mungkin ini amalan aku dari Sekolah Asrama lagi, maka supper adalah satu rutin yang jarang aku elak. Biasa-biasa pun, aku selalu makan sekeping roti sebelum tidur. Kalau malas sangat, aku buat air panas saja.



Dalam ketika aku sedang makan itu, tiba-tiba aku teringat kepada Babu yang sering berkunjung ke sekolah menengah aku ketika aku di Maktab Tentera Diraja dulu. Disebabkan kami hidup di asrama, maka makanan disana amat terhad. Kantin jarang beroperasi. Mess (Dewan Makan) pun hanya dibuka ketika waktu lunch dan dinner saja. Waktu-waktu dicelahnya biasanya adalah waktu kelaparan. Oleh itu, kedatangan Babu ke asrama adalah satu kunjungan yang dinanti-nantikan, lebih-lebih lagi oleh orang yang kuat makan macam aku.

Dia adalah seorang babu yang standard. Seorang pakcik india muslim yang tua dan berjanggut putih. Dia akan tunggang motor buruknya yang sarat dengan pelbagai jenis roti. Dia punya senyuman mesra dan sering melayani karenah kami, budak-budak tingkatan 4 dan 5 yang banyak demand dengan kesabaran yang padu. Dia pun jual roti-roti yang biasa saja. Ada roti bungkus, Gardenia, ada roti kismis dan kek dalam plastik. Ada juga beberapa snek seperti muruku ikan dan kacang dibawa serta. Kadang-kadang, makanan yang simple pun boleh jadi sedap bila kau hidup di asrama. Betul tak tipu.

Babu sering datang waktu petang, dari 4 petang sampai 6. Ada beberapa ketika, Babu akan tunggu sampai maghrib. Bila dia datang saja, berkerumun budak-budak serbu mahu membeli roti.

"Babu, saya nak beli roti Gardenia!"

"Babu, tolong pass kan saya roti kismis."

"Babu itu, babu ini." 

Begitulah dia berhadapan dengan ragam kami.

Entah kenapa satu hari, mungkin kerana aku tidak cukup wang, terlintas dihatiku untuk mencuri sebungkus roti. Pada mulanya aku berasa agak bersalah sedikit, tetapi mengenangkan beberapa kawan aku yang dah buat hal serupa, maka aku pun tekad mahu buat juga. Bila difikirkan balik, aku tidaklah lapar sangat. Mungkin aku lebih terikut-ikut dengan perlakuan nakal kawan. Mahu jadi rebel. Jika mahu dikiran, ramai saja kawanku yang sudah berbuat sedemikian. Jadi aku tunggu saat yang sesuai. Apabila tiba masa orang ramai menyerbu mahu membeli itu dan ini, tanganku pantas mencapai sebungkus roti dan menyimpannya kedalam poket. Aku memerhatikan sekeliling, tiada siapa yang nampak tindakan aku sebentar tadi. Babu terlalu sibuk melayani budak-budak yang membeli dengan halal. Dia tidak perasan.

Aku bergegas naik keatas asrama dan mengunyah roti haram itu tadi tanpa sedikit penyesalan tertompok dihati.

Beberapa bulan berlalu, dan peristiwa itu cepat luput dari kesedaranku. Seolah-olah apa yang aku buat itu bukan satu dosa dan malaikat disebelah kiriku tidak mencatat apa-apa. Aku masih membeli seperti biasa. Dan Babu juga masih menjual seperti biasa. Keadaan itu berlansung untuk tempoh yang lama. 

Sampailah dibulan Ramadhan, ketika aku baru pulang dari prep malam, aku ternampak Babu masih menjual. Selalunya dibulan Ramadhan, babu akan datang waktu kami selesai prep. Orang-orang yang datang biasanya mahu membeli sedikit juadah untuk sahur nanti. Aku datang padanya dan pilih sebungkus roti 60 sen. 

"Babu, saya mahu beli ini ya."

Aku pancing poketku, mengeluarkan beberapa keping syiling. Aku taburkan atas tapak tangan dan kira satu-satu. Rupa-rupanya wang aku tidak mencukupi. Masih kurang 10 sen. Melihat itu Babu tersenyum. Dia mengambil sebungkus roti kismis dan menyerahkannya pada aku. Aku tidak faham.

"Tak apalah, pakcik halalkan saja. Nah ambil ni sekali. Ini bulan Ramadhan, bulan banyak berkat."

Aku sedikit tersentak. "Tak apalah pakcik, saya mahu beli roti ini saja." tudingku pada roti murah itu.

Babu menggeleng-geleng kepala. "Tak apa, nanti boleh buat sahur dengan kawan-kawan sekali. Ambil sajalah, dah rezeki." sambut Babu dengan senyuman ikhlas.

Aku pun ambil dari tangannya. Aku berasa serba salah. Dosa yang aku lakukan beberapa bulan yang lalu datang mengusik kalbu. Aku ucapkan terima kasih, senyum, dan berlalu. Malam itu aku asyik dihimpit rasa kekosongan. Seolah-olah ada sesuatu dari diriku telah terbang keluar saat aku menerima pemberian babu itu tadi. Aku berusia 17 tahun ketika itu.

*********

Kali terakhir aku dengar, Babu sudah tidak berniaga lagi disekolahku. Khabarnya ada perselisihan faham dengan staf sekolah. Aku kurang pasti. Tetapi itu tidak penting. Itu hanya cerita-cerita yang disebarkan oleh angin. Peperiksaan SPM telah ditempuhi, aku terima tawaran ke UiTM untuk meneruskan pengajian Undang-Undang.

Setiap kali aku terlihat 'babu-babu' lain yang membawa motor mereka yang sarat dan membunyikan hon, ingatanku kembali pada Babu. Aku kira, dia bukanlah datang dari keluarga yang senang, sekurangnya jika mahu dibanding dengan aku. Boleh kata, keluarga aku agak mewah. Makan kenyang, baju bersih, perbelanjaan mencukupi hasil titik peluh ibubapa. Tetapi dalam kekurangan itu juga datang satu kelebihan. Babu merendah diri. Babu pemurah. Dia juga tidak berkira-kira. Allah merahmatinya dengan hikmah semacam itu. Sayangnya, itulah apa yang aku gampang.

Barangkali sebab itu aku lebih gemar memilih kedai-kedai atau peniaga kecil-kecilan berbanding memakan direstoran-restoran mewah. Burger dipasar malam, air kelapa, nasi lemak bungkus, kuih-muih akan jadi pilihan. Aku jarang menjejakkan kaki kekedai-kedai mewah, itupun bila ada orang belanja atau keadaan yang mendesak. Jurang ekonomi dinegara kita terlalu luas - seperti langit dan bumi; dengan orang kaya yang bersarapan distarbuck dan dinner steak yang wangi, dikelilingi tembok tinggi dan kenderaan mahal, dan orang miskin yang hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pada mereka, hidup adalah perjuangan. Aku percaya dengan berkunjung kekedai mereka, secara tidak lansung itu juga boleh membantu perjuangan mereka itu. Sekurangnya itulah apa yang aku percaya.

Disaat aku sedang berbaring diatas katil dan memerhatikan sinar bintang dari langit yang kejauhan, aku membayangkan penyajak Amerika Maya Angelou datang merentasi benua untuk berjumpa denganku dan berbisik kata-kata saktinya;

Bisiknya: “I've learned that people will forget what you said, people will forget what you did, but people will never forget how you made them feel.” 

Mungkin ada benarnya. Aku tersenyum. Semoga Allah bersama dengan pejuang-pejuang hidup.


Nota: Semasa sedang menulis ini, Bob Dylan dan Like A Rolling stone menemaniku. Lagunya memang 'sesuatu' betul.

Semua benda yang aku nak bebel dalam satu malam.

$
0
0
Salah sebuah foto Duane Michals kesukaan aku.


I.


Malam tadi Azhar Ibrahim ada ajarkan beberapa prinsip asas untuk mencipta Haiku. Kalau kau orang tak tahu, Haiku ini semacam puisi orang Jepun. Jika kita orang melayu ada syair yang pertama sekali dialunkan oleh Hamzah Fansuri, maka samurai-samurai sana pula suka membaca Haiku sebagai ekspressi diri atau apparatus dalam memikat awek-awek berkimono.

Bak kata Azhar, Haiku disusun dalam tiga baris pendek, dengan format sukukata; 5-7-5 bagi baris masing-masing. Dengar macam rumit kan?

Ini beberapa Haiku yang aku berjaya curahkan setelah bermalaman menakung idea:

(a)

Burung terkurung
bebas tiada arti
reput dan mati.

(b)

Pelita padam.
Debu campur gelita.
Iblis tertawa.

(c)

Matanya pejam.
Angin tiup menderu
dia pun melayang.

Haa, deep tak deep tak?


II. 

Jika kita perhatikan, politik di Malaysia sudah hampir tiba ke puncaknya. Dengan tarikh Pilihanraya Umum ke 13 yang berada dipersimpangan, manusia dari setiap genap masyarakat turun kekancah dan bersembang pasal politik. Budak-budak yang layan k-pop atau yang tak tahu siapa Nik Aziz Nik Mat pun turut serta sebab sembang politik dah jadi trend. Yang paling bersemangat mestilah budak-budak sains politik tahun satu sebab dia orang boleh cakap pasal Locke atau Hobbes. Orang yang tak kenal dua-dua ini menganga sajalah.

Tapi satu hal, kau orang kena berhati-hati dengan apa yang kau share dilaman sosial. Kau kena rujuk balik sumber yang dapat mensahihkan apa yang kau baca/dengar. Ini zaman internet dik, google ada. Kalau kau rasa ragu-ragu, taip saja digoogle. Jangan jadi malas. Untuk abad ke-21 ini, banyak perkara yang telah mengalami metamorfosis. Begitu juga dengan definisi bodoh - kerana bagi aku 'bodoh' zaman ini adalah untuk menerima segala-gala label (baik Islam, Melayu, Raja, Star Wars, etcetra) tanpa merujuk kepada pokok atau isi kandungan sebenar maklumat. Percaya semua benda orang cerita. Kalau maklumat itu sebiji oren, maka dia hanya makan kulit oren, yang isi itu dia tak nampak.

Zaman internet ini memang semua benda depan mata, tapi akal pun kena guna. Prof Shad Saleem Faruqi pun pernah cakap, "Zaman internet adalah zaman yang sarat dengan maklumat, tetapi bukan Ilmu."


III.

OK satu hal yang aku sebenarnya tak puas hati sangat adalah ini - 'kalau Pakatan Rakyat menang kerusi Putrajaya, semua Hak-Hak Keistimewaan Orang Melayu juga akan turut tercabut.' Hey, orang yang tak belajar undang-undang atau berotak udang saja akan membuat tohmahan liar begini tahu? 

Sebelum itu, aku nak akui aku bukan penyokong tegar mana-mana Parti Politik, bahawa aku percaya dengan konsep Civil Society (dengar meyakinkan kan?), dan perubahan tidak semestinya datang dari sidang Dewan Parlimen. Kita orang-orang biasa juga bisa memercikkan perubahan jika kita bersatu berdegup hati. Cuma bila aku nampak banyak sangat tahi pasal ini tercalit di wall facebook, bengang jugalah kan?

Begini adik-adik, selagi kesembilan Raja-Raja Melayu kamu wujud dan ehem, melaksanakan tugas mereka sebagai 'pelindung Agama Melayu dan Islam', selagi itu hak-hak orang melayu itu takkan tertanggal dari perlembagaan. Untuk mengubah aspek-aspek Perlembagaan Persekutuan, terdapat empat metode yang boleh dipraktikkan oleh Kerajaan, Gabenor-gabenor, dan Majlis Raja-Raja Melayu kita untuk mengubah undang-undang ikut perkembangan semasa. 

Sudah tentu aku takkan ceritakan satu persatu sebab aku tengah malas tapi kalau kita lihat metode yang ketiga (Perkara 159 (5) Perlembagaan Persekutuan), dah terang-terang tertulis undang-undang yang berkaitan hal-hal 'sensitif': Bahasa Melayu, Hak Keistimewaan melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu (ya mereka juga sensitif, lansung tidak boleh ditegur menurut undang-undang), dan Islam haruslah dirujuk dan mendapat persetujuan Raja-Raja Melayu dahulu. Untuk membuat sebarang perubahan mengenai perkara-perkara yang dicanang diatas tadi, maka dua pertiga Parlimen dan Raja-Raja Melayu harus mempersetujui usul tersebut. 

Disitulah dengan strategiknya Monarki kita diletak sebagai 'pelindung Agama Islam dan Melayu', kerana selagi mereka ada bertakhta dan sayangkan subjek-subjeknya yang mengangkatnya, selagi itu Hak-Hak Keistimewaan Melayu tadi takkan terusik. Takkanlah Raja-Raja Melayu nak cabutkan Hak-Hak Keistimewaan Melayu, kan kan kan? Kecualilah kalau dia bukan Raja berdarah melayu. Atau Rajagopal. K abaikan ini.

Kalaulah ada satu hari nanti Parlimen dipenuhi dengan orang bukan melayu yang tak suka dengan Hak orang melayu tadi pun, usulnya takkan berganjak kerana dibekukan oleh Sultan-Sultan kita. Sekurangnya semua ini dari perspektif undang-undanglah. Kalau tiba-tiba orang bukan melayu marah sangat sampai buat revolusi aku tak tahu pula.

Kenapa fobia ini kecoh sangat? Rumusnya mudah saja; ada orang dari parti itu nak tunjuk dia hero, kononya kalau orang melayu tak undi dia maka semua orang melayu akan pupus dan seterusnya menafikan ramalan heroik Hang Tuah: "Takkan Melayu Hilang Didunia." Tak mengaku Melayu kalau Hang Tuah dengar benda-benda macam ini. Serius woi.

Jadi sekarang, siapa nak cakap budak-budak nerd belajar undang-undang atau sejarah itu tak cool?


IV.

Maaf lama tak update. Nah lagu sedap. Kalau kau orang tak suka, peduli apa aku. Kakaka.



Tak main lah rasis-rasis ini babe!

$
0
0
Racism is soooo last year!


I.

Aku kadang-kadang muak juga tengok orang menjerit (atau post dengan CAPTION BESAR) pasal Hak Ketuanan Melayu atau Melayu Mudah lupa, atau apa-apa yang bersangkutan dengannya. Boring betul sampai aku rasa nak keluar menghadap langit menerusi tingkap dan menjerit sepuas-puasnya. Kau tahu sebab apa? Sebab dalam zaman Post Modern ini pun ramai orang melayu yang masih tak keluar dari kepompong ghaib yang mengurungi pemikiran dia orang sejak sekian lama. Masih dengan mentaliti orang cina nak halau orang melayu atau orang cina ada China dan orang India ada India, orang Melayu hanya ada Malaysia.

OK biar aku bertenang sekejap. 

*5 saat berlalu*

Aku lansung tak rasis. Aku ada kawan India dan Cina. Di Royal Military College, kami semua dah bersatu sebelum Najib menjerit 'Satu Malaysia!' menerusi mikrofon lagi. Ya, before it was cool. Kawan aku nama William, dia kurus keding dan berkaca mata. Hobi dia adalah bermain bola keranjang. Apabila ada waktu-waktu lain, dia akan membuka buku dan mengulangkaji pelajaran. Aku tak dengar pula dia cakap nak mencabutkan Hak keistimewaan melayu sepanjang aku lepak bersama dia. Satu lagi kawan aku bernama Kisharn. Dia sekarang kadet ALAM, dengan steady meredah lautan dan jumpa hot chicks di luar negara. Dia pun tak pernah pasang cita-cita nak halau orang Melayu keluar dari Malaysia sebab aku pernah curi baca diari dia masa aku tingkatan 5 dulu.

Pendek kata, kalau kau dah bercampur-gaul dengan orang dari bangsa lain, dinding prejudis kau juga akan turut runtuh. Itu diterangkan dalam social psychology. Kau nak tahu macam mana Penjajah British jajah nenek moyang kau dulu? Kau ingat lagi kan 'Pecah dan Perintah' polisi British dulu? Bijaknya dia orang ini, nenek moyang kita dipecahkan ikut bangsa dan pekerjaan. Orang melayu bermandian sawah, orang India menoreh di estet, dan orang cina berniaga. Apabila hal ini terjadi, masing-masing moyang kita tak boleh nak lepak hangout sama-sama. Ada pemisah yang menghalang interaksi seperti itu berlaku. Masing-masing ingat bangsa lain nak pijak dia. Padahal British rilek-rilek saja hisap rokok dirumah, main perempuan, dan gelak-gelakkan kita sebab tak reti nak bersatu. 

Hanya orang-orang yang duduk dengan sebangsa dia saja akan rasa inferior dengan bangsa lain. Kalau kau orang cuba chill dan lepak dengan budak-budak bangsa lain ini, dia orang sebenarnya okay. Malah sesetengah daripada mereka lagi okay dari orang-orang Melayu yang aku jumpa suka melalak tak tentu pasal.

Lagi satu bagi orang yang asyik post 'Melayu Mudah Lupa' ini, move on please. Tak ada kegawatan dan korupsi yang lebih dahsyat daripada zaman pemerintahan Dr Mahathir. Mungkin kau orang rasa zaman itu Malaysia jadi gemilang, tapi hey, kadar hutang kita melambung tinggi dan sistem undang-undang kita dicemari apabila kuasa eksekutif melanggar kuasa kehakiman. Ingat kes Tun Salleh Abbas pada tahun 1987? Ada satu buku Tunku Abdul Rahman tulis satu komentari pasal kejadian ini. Tunku sendiri berasa jijik apabila Demokrasi dikotorkan untuk kepentingan-kepentingan peribadi politikus. Itu Bapak Kemerdekaan kita babe!

Sesebuah tamadun bukan diukur dengan berapa banyak kereta Proton kau nampak berluncur atas jalan raya, tetapi juga mengambil kira keadilan, kesamarataan, hak orang-orang miskin dan minoriti terjaga, dan lain-lain nilai yang kau orang boleh jumpa dalam buku teks pendidikan sivik sekolah rendah.


II.

Buka youtube nampak Barisan Nasional, pasang tivi terpampang Muka Najib, dan radio pula tak habis-habis nak pekik 'Transformasi'. Aku cuma berharap bila aku buka pintu peti ais nanti tak ada iklan BN juga, mahu naik gila aku kalau begini sampai 5 Mei nanti.


III.

Semalam Najib datang Shah Alam buat perhimpunan (baca: show) dan bagi ayam kentaki percuma kepada mahasiswa-mahasiswa Yuu - Ai - Ti - Em. Aku lupa pula Perhimpunan Keramat ini. Oleh itu, aku juga telah melepaskan peluang untuk merasai ayam kentaki. Aku cuma hairan, bila ramai pom pang pom pang itu dan ini kata jangan bawa masuk politik kedalam halaman universiti, yang sek-sek itu boleh pula?

Oh lupa, mereka kan Kerajaan! My God bodohnya aku!

*ketuk kepala sendiri*


IV.

OK aku dah boring. Aku nak sambung baca Perempuan Nan Bercinta (Faisal Tehrani) sambil hisap kretek, teguk kopi, dan jadi cool. Malam sikit nanti aku nak main politiko. Kalau kau orang rindu aku, nah dengar ini pula.

By the way, selamat berjaya kepada mana-mana Parti Politik sempena 5 Mei ini! Kalau aku boleh mengundi, aku akan mengundi Parti Sosialis Malaysia sebab dia orang tak mainstream dan sangat hipster. Katakan ya pada sosialisme dan Karl Marx yo!



Fin.

Pasca Pilihanraya Umum dan mukjizat alaf moden; Internet.

$
0
0
I.

Sejujurnya aku masih kecewa dengan keputusan PRU 13 ini. Aku betul-betul dah ingat Pakatan Rakyat akan menang, tapi sayangnya hegemoni Barisan Nasional terlalu ampuh dan kukuh. Tindakan Anwar mempersoalkan keputusan itu bagi aku adalah sesuatu yang waras. Memang menurut undang-undang pun, keputusan Pilihanraya boleh dibantah dalam tempoh 21 hari. Jadi ada beberapa 'hardcore BN' yang sound aku, "Hek eleh, dengan demokrasi yang adil pun dah kalah, nak buat re-election lagi apa pasal? Diam sajalah."

Tunggu, aku masih tak dapat menghadami perkataan "adil" ini. "Adil"? Pertarungan demokrasi dinegara kita memang dah tak adil sejak mula - bertitik dari Media Arus Perdana yang bermata sebelah lagi. Demokrasi kita tidak pernah neutral, ia melebihkan kuasa disebelah status quo sana. Cerita-cerita jalang yang termuat dalam akhbar, tersiar dalam tivi, dan terdengarkan dari corong radio mengongkong pemikiran manusia, dan betapa sayang bagi orang-orang yang hidupnya tak tercapaikan kemukjizatan Internet. Sekiranya aku tak ada internet, tanpa ragu aku dah jadi macai setulen-tulennya. Internet sekurangnya menjadi gelanggang yang adil dimana setiap orang boleh menilai apa yang baik dan apa yang tidak.

Oleh itu untuk menilai demokrasi kita yang dikatakan 'adil' itu sebenarnya bagi aku mengarut. Ini belum masuk lagi isu-isu berbangkit seperti 'pengundi asing' (tergamak juga mereka mengimport warga asing untuk menentukan nasib negara kita ya), gerrymandering (mengubah sempadan pengundian), dan sebagainya. Adakah semua itu akan terus terpadam dengan terbentuknya sebuah kerajaan yang baru? Entah. Aku harap akan ada penyiasatan yang menyeluruh. Khabarnya committee Bersih sedang mengumpulkan laporan dan video yang dirakam sepanjang PRU 13 ini.


II.


Perihal peratusan pengundian pula, majoriti di Malaysia lebih banyak mendukung Pakatan Rakyat (50.87%) berbanding Barisan Nasional (45.74%). Apakah sebabnya ini berlaku? Mudah, kerana kita memakai sistem Undi Elektoral berbanding Undi popular. Pemilihan diadakan secara berperingkat, berangkat dari bawah ke atas, dari sebuah wilayah ke seterusnya. Sistem Undi Elektoral menjamin hak setiap warga, terutama sekali minoriti-minoriti yang sering terabaikan apabila mereka mempunyai 'wakil' mereka sendiri. Gerrymandering berperanan besar dalam situasi ini.

Tetapi ia juga tidak lekang dari persoalan, apabila kerusi-kerusi Parlimen diduduki oleh BN lebih banyak berbanding PR, walaupun PR secara keseluruhan lebih menonjol. Ini bermakna, minoriti sedang menguasai majoriti, seterusnya membunuh semangat demokrasi itu sendiri apabila yang sedikit memerintah yang banyak.

Seharusnya pilihanraya seharusnya diulang lagi, kerusi-kerusi parlimen dicabut (ya, buat BN dan PR sekaligus) untuk memastikan keputusan yang hak. Sekiranya mereka dipihak yang benar, tiada apa yang perlu dirisaukan, kan? Bak kata pepatah melayu, "berani kerana benar, takut kerana salah."


III.

Dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan mengatakan SPR tidak jernih dan diselaputi interest politik, aku rasa elok saja kalau kita meminta bantuan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menjadi pemerhati sistem pengundian dinegara kita. Memang kedengaran agak absurd untuk meminta bantuan luar, tapi hey, ia lebih baik daripada digelar "kerajaan yang membohong" atau "menteri yang meroyan". Kan?

Siapa yang panggil Obama datang memang lembu. Sedangkan Obama pun tak dapat bantu Amerika, inikan pula Malaysia. Sebuah negara yang jauh di asia tenggara dan lansung tidak menonjol dalam cerita-cerita dunia.


IV.

Tempoh hari disebabkan aku boring (5 Mei), maka aku dan family aku pergi ke Lembah Pantai untuk menanti pengumuman pilihan raya. Sampai di Bangsar saja sudah sesak. Bendera-bendera PKR dikibar, bunyi hon ditiup seperti acara bola sepak, dan laungan "reformasi" dijerit berulang-ulang kali sebagai tanda sokongan terhadap Nurul Izzah. Nampaknya anak perempuan kepada Pemimpin Pembangkang ini juga turut menjadi ikon kepada orang-orangnya sendiri. Salah satu sebab aku berminat dengan Izzah adalah ini: Sementara orang-orang politik meniupkan api perbalahan dan perkauman, Izzah bercakap soal Harapan.

Syukur Alhamdulillah, Izzah keluar sebagai pemenang. Manusia-manusia bersorak, bendera dikibar oleh kenderaan yang berjalan, dan seorang makcik India disebelahku menyeka matanya yang basah. Lembah Pantai terus hidup malam itu betapapun kegelapan begitu mendesak. Sememangnya Nurul Izzah adalah pilihan rakyat disana.

Ini buktinya aku hadir:

Selepas pengumuman Izzah sebagai pemenang dengan majoriti 1847.

Ini adik gua dan gua.

Teriakan reformasi dan ubah berjela-jela mengisi malam.


V.

Ok itu saja. Kalau kau orang ada pandangan berbeza, dipersilakan komen dibawah. Kalau komen dengan ejaan rempit atau hujah tak berjejak, aku tak akan layan. Bye.

Aku tak tahu nak letak tajuk apa jadi selepas tiga saat berfikir aku tulis macam ini.

$
0
0
Sebuah foto Roger Ballen.


Maaf aku dah lama tak update. Blogspot sedang nazak dan twitter sedang memijak-mijaknya. Orang semakin nak cepat, singkat, dan sebab itu twitter terus menjadi relevan. Aku lebih banyak merapu di twitter sekarang. Tapi kadang-kadang aku terasa mahu membebel panjang dan oleh kerana twitter tidak cukup untuk menampung lebih 140 patah perkataan, maka blogspot timbul kembali.

OK. Here we go.

i.

Tempoh hari aku ke Kuala Lumpur untuk bersiar-siar. Seperti biasa, budak-budak scene One Direction sedang melepak buat onar didepan Pavi macam ada kamera sedang rakam semua aksi mereka dengan cool. Sambil termenung panjang, aku rasa pelik tengok budak-budak ini. Pakai sweater dan cardigan kemain tebal macam duduk New York atau Pennsylvania. Tapi dia orang tak berpeluh ke bawah sinaran Matahari Malaysia yang dibawah garisan Khatulistiwa ini? Suhu sini biasanya dalam kadar-kadar 32 darjah celcius sekitar pukul 3 petang. Panas woi. Panas macam Saudi Arabia pukul 4 pagi kalau kau orang nak tahu. Jika tak percaya sila google.

Aku tak tahu apa yang bermain dikepala orang mat salleh yang datang melancong ke Malaysia bila dia nampak budak-budak macam ini. Dia orang yang asing pun tahu pakai sleeveless dan shorts bila datang melawat ke negara Asia, inikan pula budak-budak yang memang asalnya sini.

Agaknya inilah penangan Westernisasi. Nak terikut-ikut dengan budaya Barat sampaikan yang tak sesuai dengan iklim tempat dan masyarakat pun turut dicedok sebagai trend.

Hei aku tak benci mereka, ia cuma sesuatu yang melintasi otak aku sekali-sekala bila termenung panjang sangat.


ii.

Suatu malam seperti malam-malam kebiasaannya,
Adam tersedar dari keanehan mimpi
Sebuah mimpi mengusik jiwanya.

Dia sedang menonton tivi
Dan ada seorang perempuan juga
Tak terlihat wajahnya
Hanya rambut panjang memburai
Mencecah lantai
Menonton tivi dalam tivi
Melihat Adam nyenyak bermimpi.

Adam berasa sejuk.
Adam melemparkan pandang keluar tingkap.
Bulan sabit tergantung atas wayar. Lampu studio bersinar-sinar.
Sebuah kamera besar datang menghampiri merakam Adam.

Adam terkurung dalam tivi.


iii.



p/s: Aku sedang membaca helai-helaian terakhir 'Istanbul' oleh Orhan Pamuk. Kalau aku rajin, aku akan ceritakan sikit. Berdoalah supaya aku rajin.

KIL.

$
0
0
Akil dan Zara.




So hari itu aku pergi tengok #KIL dengan makwe aku di Setia City Mall. Disebabkan kawan-kawan aku cakap filem ini best, 'lain dari yang lain', dan peminat-peminat Redza Minhat menjerit-jerit "OMG REDZA IS SOOOO HANDSOME QWEJGIV MOCWSFSVKC!!" di twitter, maka aku pun membeli tiket atas dasar mahu menuntut kepastian. Apa best sangat kah filem bikinan Nik Amir Mustapha ini?

Kalau kau orang tak tengok filem ini lagi, tak payah nak baca selanjutnya. Tapi kalau kau orang steady, bacalah. Bacalah atas nama filem melayu yang semakin maju.

Sejujurnya, kalau kau orang tanya aku filem ini best atau tidak, aku hanya akan mengangguk dan kata, "Hmmmmm okaylah. Kalau mahu dibanding dengan filem-filem tipikal tempatan, KIL dah bunuh mereka semua. Tapi kalau mahu diukur dengan filem-filem Antarabangsa, aku akan kata "not bad.""  Selepas sejam lebih aku habis tonton dan keluar dari panggung, aku tak rasa jiwa aku bergoncang sangat. Entah kenapa, ia sebuah cerita yang bagus, tetapi ada sesuatu yang hilang. There is something wrong you know.

1. Kemaafan. Sebab mengapa Akil (Redza Minhat) menghidap perasaan ennui, depression, stress, dan segala macam perasaan yang boleh buat orang fikir dia deep adalah - Akil penyebab ibunya mati dalam kemalangan jalan raya. Perasaan rasa bersalah ini menghempap jiwa Akil sekejamnya, mengheret dia kedalam dunia yang tumpat gelap dan tiada erti. Ini jugalah sebab mengapa dia pergi jumpa tauke Life Action Bureau untuk menyerahkan nyawanya dalam proses euthanasia (membenarkan diri dibunuh sukarela).

Tapi bila ada seorang makwe cun bernama Zara ini muncul, tiba-tiba hidup Akil terbalik 180 degree. Daripada konon-kononnya suicidal, Zara berjaya menceriakan hidup Akil dan meyakinkan (secara tidak lansung) bahawa bunuh diri bukanlah penyelesainnya dan hidup perlu diteruskan.

Ini membuat aku tertanya-tanya, jadi dia putuskan untuk tidak bunuh diri sebab Zara ini saja kah? Kehadiran Zara sudah cukup untuk memendamkan rasa bersalah kerana cuai dan seterusnya mengakibatkan kematian ibu sendiri? Bagi aku personally, itu tidak memadai. Pengarah seharusnya mencungkil lebih dalam lagi untuk Kemaafan ini, bahawa Akil merasa pedih bukan kerana tiada awek atau dia lonely dan mencipta imaginary Girlfriend, tetapi ingin cari cara untuk menembus kembali rasa bersalahnya itu. Sekadar ada seorang awek cun tidak melenyapkan rasa bersalah itu - atau mungkin ia hanya bertindak sebagai placebo. Supaya Akil lupa untuk sekejap-sekejap. Dan seingat aku Zara pun tidak banyak sentuh tentang tragedi gelap Akil itu.

2. Anti klimaksnya juga tidak berjaya membuat aku berasa "Wow!" walaupun aku akui aku terkena sakit jantung mini untuk dua saat selepas pistol yang ditarik picunya itu tidak memuntahkan peluru. Ia sesuatu yang tidak dijangka dan dibuat dengan kemas, tetapi kurang padat. Dengan mendedahkan bahawa Life Action Bureau bukanlah satu organisasi Euthanasia sebaliknya sebuah NGO yang berkhidmat untuk memberi kesedaran tentang "Kepentingan Untuk Hargai Nyawa" adalah ibarat kau lari cari tandas awam, kau bayar makcik depan tandas nak kencing, kau buka seluar, tetapi apa pun tak keluar. Rupanya tak jadi nak buang air kecil. Memang anti klimaks mempunyai fungsi itu, meranapkan setiap harapan dan tekaan penonton menjadi rata. Cuma untuk kali ini, aku rasa janggal. Bila aku tanya kawan aku yang lain, mereka kata OK saja. Entahlah mungkin aku sendiri yang mengada-ngada agaknya.

3. Ada juga beberapa bahagian yang sedikit meleret. Aku tak berapa ingat part mana. Bahagian yang kurang penting boleh dipotong dan disunting untuk memastikan dinamik cerita tidak perlahan.

Tapi secara keseluruhan, Kil adalah sebuah filem yang memuaskan. Gabungan sinemagrafi yang cermat, lagu-lagu yang hebat (Lights - Seven Collar T Shirt, Rapuh - Pesawat, dan Lagu - Bedroom Sanctuary), dan watak-watak yang punya pelbagai warna adalah tunjang utama filem ini. Ia memaparkan sebuah dunia yang tidak wujud dalam filem-filem tipikal melayu yang ditayangkan atas nafsu komoditi dan lansung tak berseni. Dalam hiearki filem-filem terbaik Malaysia, aku akan letak Kil nombor dua, bawah Bunohan. Ia mungkin tidak menumpaskan Bunohan tetapi ia menarik dalam caranya sendiri, memukau, dan menyuntikkan vitalisme terhadap penonton-penontonnya yang dahagakan pembaharuan dalam medan filem.

Semoga Nik Amir Mustapha akan terus membikin filem dan mengangkat martabat filem dalam persada dunia.


p/s: Nantilah aku cerita pasal Istanbul, Orhan Pamuk.

p/s (2): Selamat ulangtahun Maurice Sendak, pelukis buku kanak-kanak Where the Wild Thing Are. Semoga anda tenang disana.

Kata dia, “You cannot write for children. They're much too complicated. You can only write books that are of interest to them. ”

Melawat Istanbul bersama Orhan Pamuk.

$
0
0
Salah sehelai muka surat Istanbul: Memories and a City.


Membaca Istanbul adalah seperti membaca sebuah diari seorang pemuda yang merakam detik-detik kota peradaban itu melalui tingkapnya yang suram. Orhan mengajak kita untuk duduk dan menghisap rokok bersamanya melihat masyarakat yang terpisah oleh jurang besar - kaya dan miskin - serta perasaan Huzun yang menghukum orang-orangnya yang sayu dan tertunduk kerana robohnya sebuah empayar besar.

Orhan dilahirkan dalam sebuah keluarga Borjuis Sekular. DIa tidak merasai keperitan hidup sepertimana yang menimpa kebanyakkan orang masa itu. Bukan sekadar itu saja, keluarganya juga tidak mengamalkan sebarang bentuk kepercayaan terhadap Agama sepertimana setiap golongan-golongan kaya yang hidup zaman itu. Walaupun begitu, Orhan kelihatan tidak mencemuh kepercayaan orang-orang ini. Barangkali kerana pada waktu-waktu tertentu, dia juga membutuhkan Tuhan untuk terus ada dengan tangan halimunannya.

Oleh kerana aku katakan ia seperti membaca sebuah diari, maka ini bukanlah cerita pasal Istanbul secara penuh, tetapi tentang pemerhatian seorang pemuda yang hidup didalamnya. Ia dibuka dengan Orhan Pamuk dan diakhiri dengan Orhan Pamuk. Dan Istanbul yang kita baca ini bukanlah Istanbul yang benar-benar wujud. Ia adalah sebuah kota yang hanya berdiri dalam relung-relung ingatannya. Ia adalah apa yang dikonstruk oleh pemerhatian dan huzunnya semenjak sekian lama.

Terima kasih untuk membawa saya ke Istanbul kamu, Orhan.

Aidilfitri pertama, wang, dan Orhan Pamuk.

$
0
0


I.

Raya pertama aku sia-siakan dengan membaca The Book Of llusions (Paul Auster), diselang-selikan dengan melawat beberapa rumah sanak-saudara, kawan mak dan abah, makan rendang dan ketupat, dan menonton tivi yang betul-betul sedang berusaha keras untuk menghiburkan hati kita walapun pada akhirnya kita akan menepuk bahu tivi dan berkata, "Tuhan sebenarnya dah melaknat kau."

Duit raya aku dapat rm10, tapi bukanlah sesuatu yang mengejutkan sangat, kerana semenjak aku berumur empat belas pun pendapatan raya aku tak banyak macam kawan-kawan. Tapi yang kelakarnya, aku tak pernah peduli pun. Duit raya semacam satu bonus, kalau ada itu, adalah, kalau tak ada, well, terima kasih untuk kuih muih dan sudi menjemput kami. Aku dididik sejak dari kecil untuk menghargai nilai dan erti lebih ketimbang duit, jadi kalau kawan-kawan aku tunjuk berapa banyak duit dia orang dapat pun, aku tidak kisah apa.

Apa yang buat aku paling suka pasal Aidilfitri bukanlah kuih muih atau duit raya, atau perempuan-perempuan melayu yang menyarung kain kurung ketat, tetapi lebih kepada momen-momen yang diluangkan bersama itu. Kau boleh nampak orang-orang islam akan duduk semeja dan berbual dan bercerita mengenai apa-apa (walaupun ini secara perlahan-lahan telah terkikis dek Revolusi Internet) dan mereka akan bermaaf-maafan (satu adat yang turun-temurun dalam spesies-spesies manusia yang bernama Melayu), dan itu sebenarnya sesuatu yang menyenangkan, kerana aku rasa itulah kecantikan Aidilfitri.

Tentang orang pergi Kamdar beli kain lansir mahal setiap tahun trying hard to impress people, beli Tivi 40 inci untuk bagitahu orang gaji dia besar, atau etcetera etcetera bagi aku tak ada hal sangat. Walaupun itu amalan konsumerisme yang tak berpenghujung, tetapi ah, mampus dia lah nak buat apa.


II.

In case if you're wondering why im not writing lately, aku sekarang kerja full time di Speedmart. Ya, kerja angkat barang, letak tanda harga, senyum kepada customer, dan sekiranya ada waktu lapang, akan melepak di stor bersama kawan-kawan India dan menghisap rokok sambil mendengar cerita mereka dan dunia mereka yang nyata berbeza dari dunia aku. Duit aku menipis Pasca Semester Dua lepas dan aku dah tiada duit untuk beli buku atau winston atau berkelana seorang-seorang di Kuala Lumpur. Untuk hidup dalam Era Kapitalisme Neo Liberal tanpa duit adalah seperti dicabul oleh sekumpulan gorrila yang bernafsu terhadap manusia lelaki.


III.


"At school, I memorised all the prayers very well, to ingratiate myself with the teacher. He helped us memorise the Fatiha by hitting us, picking us up by the hair,squeezing our heads under the lids of our desks. All the while the Koran stood open. I learned everything they taught us about Islam, but then I forgot it all.
 
Now it’s as if everything I know about Islam is from The Call - you know,that film starring Anthony Quiin’.
—  Ka, dari Snow oleh Orhan Pamuk.

Berapakah harga sebuah pendidikan?

$
0
0
“Sudah kukatakan padamu, Kawan, di negeri ini, mengharapkan bahagia datang dari pemerintah, agak sedikit riskan” ― Andrea Hirata.


Lewat ini ramai yang sembang pasal PTPTN dalam laman sosial, biar di facebook, twitter, blog, dll termasuklah aku. Bagi aku secara peribadi, isu ini isu besar, dan ia harus dilihat dari perspektif yang menyeluruh berbanding satu hala kerana pendidikan, peminjaman wang, aliran keluar masuk duit, dan kebajikan masyarakat adalah saling berkait-rapat antara satu sama lain. Aku bukanlah budak ekonomi atau pernah ambil kelas ekonomi di sekolah menengah dulu jadi aku tidak akan cakap dalam bahasa ekonomi (jangan risau!), tapi aku akan cuba luahkan pendapat dan buah fikiran aku yang bermain di relung otak sejak sekian lama. Ini hanya pandangan dan oleh kerana itu, ia boleh dicabar, dan jika kalian ada idea untuk menyanggah atau menambah, itu hak kalian untuk mengkritik. Aku pun mahu dengar pendapat kalian.

Ok mari kita mula dengan pendidikan. Selepas membaca Andrea Hirata dan menonton filem Laskar Pelangi, aku selalu percaya bahawa pendidikan adalah salah satu cara baik untuk membebaskan masyarakat dari kemiskinan. Pendidikan adalah untuk mempersiapkan seseorang, untuk menjana keyakinan dan ilmunya supaya apa yang dipelajarinya nanti dapat dimanfaatkan kepada umum. Seorang pelajar perubatan - apabila menyarung jubah doktor nanti - akan menyumbang kepada naik taraf kesihatan kepada masyarakatnya, begitu juga dengan seorang jurutera, peguam, cikgu, dan lain-lainnya yang sedang menuntut pelajaran di menara gading. Jika kita lihat di negara-negara dunia ketiga yang miskin, kita akan dapati bahawa kadar kemiskinan dan peluang pendidikan rapat bagaikan tulang dan daging, dimana semakin kurang peluang pendidikan disatu tempat itu, semakin melaratlah ia.

Lalu soalnya disini adakah pendidikan harus percuma? Perkara 12 dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa setiap rakyat berhak untuk mendapat pendidikan tanpa sebarang diskriminasi. Ia terjamin (walaupu tak cakap pula percuma atau tidak) sebagai salah satu fundamental liberties sebagai sahutan terhadap era globalisasi dan hak asasi kemanusiaan. Disini ada dilema. Untuk menyediakan kebajikan masyarakat (pendidikan percuma), kita harus mempunyai keuntungan dulu, kerana tanpa keuntungan, kebajikan itu tidak terbayar untuk direalisasikan. Aliran duit harus deras supaya tebing-tebing kebajikan masyarakat menjadi subur. Jadi kita berangkat ke persoalan: bagaimana untuk membiayai pendidikan ini? Adakah dengan peminjaman wang kepada pelajar, atau subsidi secara terus, atau ada metode lain? Kau harus tahu bahawa peminjaman wang kepada pelajar atau subsidi, kedua-duanya diambil dari wang pembayar cukai dan oleh kerana itu, rakyat ada hak untuk mempersoalkan kemana hala tuju perbelanjaannya.

Bagi aku, secara pragmatik, mungkin lebih baik sekiranya kerajaan menggunting bunga yang berselirat di celah-celah dokumen ptptn itu. Kalau boleh aku mahu saja kerajaan subsidi terus segala kos, biar duit cukai dilaburkan untuk kependidikan mahasiswa dari Alif sampai Ya, tetapi mengambil kira ini negara dunia ketiga dan kita sebenarnya miskin, aku rasa ia mustahil - atau mungkin boleh diwujudkan, tetapi bukan sekarang, bukan bawah pemerintahan yang berdasarkan ras kaum ini. Negara kita tak berganjak pun dan semua cerita yang mengatakan ekonomi negara kita stabil macam yang terpampang dalam surat khabar itu nak bohong kalian semua. Atau tak pun mungkin mereka boleh tambahkan purata gaji pekerja? Bunga itu patutnya boleh saja diganti dengan pelaburan wang rakyat yang tertumpu untuk bidang kependidikan, tetapi ehem, 'tersalah alih' agaknya. Akhirnya semuanya masuk kedalam perut kroni-kroni dan terbit sebagai tahi segar. Ini semua gara-gara ketidaktelusan pentadbiran polisi.

Aku kira rungutan dan kemarahan orang ramai terhadap PTPTN bukanlah kerana liat tidak mahu bayar, tetapi terbeban dengan kos kehidupan kita yang semakin mahal. Lihat saja bagaimana kau nak hidup dalam sehari. Kalau kau nak makan, sehari berbelanja rm10 memang tidak cukup, kecualilah kalau kau sudi makan maggi yang tak berkhasiat dan membotakkan rambut itu. Itu belum lagi duit yang dibakar untuk menggerakkan enjin motor, kereta, rokok (perjuangan anda sangat dihargai), macam-macam kenaikan harga melambung tinggi, cukai, dan syaitan-syaitan lain yang nak menipiskan dompet kau.

Kalau kau lahir di rumah banglo, makan malam di Tony Roma's dan setiap hujung minggu membeli jeans Levis dan baju Ed Hardy, dan mak abah kau kirimkan kau duit setiap bulan beratus-ratus ringgit, mungkin kau tak terasa sangat. Mungkin kau boleh berkata dengan angkuh, "Bodoh kau hutang pergilah bayar sendiri. Lain kali kalau tak nak bayar jangan berhutang!" Inilah masalah sesetengah orang-orang kaya yang tiada empati. Mereka terlalu selesa dalam mahligai kemewahan sampaikan mereka tidak faham kemiskinan yang merenggut saudara mara mereka. Mereka inilah spesies penghisap yang disfungsi dalam masyarakat, kerjanya hanya menayang iphone baru atau handbag mahal, tetapi bila dihadapkan dengan masalah masyarakat, mereka akan meludah orang-orang yang tidak setaraf dengan mereka. Mereka tidak faham bahawa bukannya semua orang dilahirkan kaya bertimbun. Begitu juga dengan anak-anak menteri, bolehlah mereka sembang pasal duit yang mereka guna untuk belajar di overseas itu adalah duit 'Kerajaan'. Pernah dengar "Some people are so poor all they have is money"?

Mungkin ada yang kata kadar bunganya agak rendah, tetapi kau kena tahu itu juga bukan senang. Ada yang ibunya harus berjaga menenun kain untuk belanja anak-anaknya. Ada yang abahnya menjual kudrat menoreh getah seawal subuh bagi menghantarkan anaknya ke universiti supaya menjadi 'orang'. Dan anak-anak ini, selepas mereka mendapat segulung ijazah nanti, akan terbeban oleh hutang dan terpaksa bekerja sepanjang hidup untuk melangsaikan hutang ditambah lagi dengan bunga dan kos hidup kotaraya. Nampaknya dalam zaman ini perhambaan masih wujud, walaupun tidak secara terus, dan ia dinamakan penghambaan cukai, atau mat salleh kata debt slave. Kau akan terikat dengan hutang sampailah ke liang lahad dan ia akan berganti pula ke anak cucu kau. Ya, inilah kapitalisme!

Terus terang aku ok saja dengan PTPTN - sekurangnya buat masa sekarang. Jujur, aku bukanlah dari keluarga susah dan aku tidak kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, dan abah aku bukanlah penjual kuih, dia seorang peniaga. Inshaallah aku boleh langsaikan nanti sesudah tamat pengajian. Tetapi aku juga kasihan dengan orang-orang yang lahirnya tidak kaya. Ketidakseimbangan ekonomi sedang menggugat saudara mara kita dan jika kita tidak berfikir secara kritikal dan peduli kepada mereka, kemanusiaan bakal pudar dek kebebalan. Aku percaya pendidikan mampu membawa manusia keluar dari kemiskinan dan oleh itu ia tidak seharusnya dijadikan komoditi untuk keuntungan sesetengah pihak saja. Ini bukanlah soal "Siapa hutang dia bayar" saja, ini soal yang lebih luas dengan mengambil kira iklim masyarakat dan soal hala tuju wang cukai yang dibayar, samada adakah ia dimanfaatkan atau disalahgunakan?

Entah kenapa pada malam ini aku teringatkan Lintang, salah seorang watak Laskar Pelangi yang mengayuh basikal lima belas kilometer jauhnya setiap pagi untuk menghadiri kelas menimba ilmu. Aku terbayangkan basikal buruknya, titik peluhnya, tangan kasarnya yang bekerja, dan semangat optimisnya yang percaya dengan keajaiban pendidikan dan kuasanya dalam mengubah nasib anak-anak bumi.

Lintang, watak Laskar Pelangi yang berjiwa besar.

Dunia tanpa Syurga, Negara, dan Harta.

$
0
0


Imagine there's no heaven
It's easy if you try
No hell below us
Above us only sky
Imagine all the people
Living for today...

Imagine there's no countries
It isn't hard to do
Nothing to kill or die for
And no religion too
Imagine all the people
Living life in peace.

Imagine - John Lennon.


Aku tidak bisa mengingati kali pertama lagu ini didendangkan. Aku lupa. Seperti lagu-lagu lain yang sarat dengan erti dan harapan yang begitu menggunung, kita tak pernah fikir bila atau mana pintaan seperti ini dinyanyikan. Ia tidak penting. Yang penting adalah apa yang terkandung didalamnya. Dan secara peribadi, ia adalah antara sebuah doa yang paling cantik pernah dipanjatkan dalam sejarah manusia.

Kita semua tahu lagu ini ditulis ketika nafsu nasionalisme dan agama membuak-buak membakar dunia. Sejarah memberitahu kita Eropah baru saja mahu pulih dari igauan Perang Dunia, Jepun masih meratapi jiwa-jiwa yang terbakar dalam mukjizat Nuklear yang maha syaitan, dan hutan-hutan Vietnam tidak pernah lekang dengan peluru buatan kilang Amerika. Nampaknya setelah mimpi-mimpi ngeri akan bom dan penyembelihan, manusia semakin galak untuk berperang. Dek kerana letih lantaran perang demi perang demi perang dan kemanan yang belum terlaksa, John Lennon dan Yoko Ono mengambil pensil dan menulis tentang sebuah lagu yang bernyanyikan dunia yang aman tanpa beza.

Bagi aku peribadi, dunia ideal menurut John Lennon ini, betapa ia memiripi Manifesto Komunis (dengar saja mereka menolak Agama, Negara, dan Harta Benda), ia masih bukan dunia yang terindah. Ia mungkin sebuah dunia yang aman, ya, apabila agama tidak dipergunakan untuk jihad-jihad palsu, apabila tiada bendera nasionalisme dipercacakkan atas kerongkong lawan yang telah mati, atau tiada lagi anak-anak lapar mangsa penindasan ekonomi, tetapi ia sudah tentu sebuah dunia yang hambar tanpa kepelbagaian dan beza. Bayangkan saja satu dunia dimana setiap orang adalah sama? Satu dunia yang hanya diberusi hitam dan putih. Sudah tentu ia sangat membosankan.

Ini kerana agama dan nasionalismelah yang membentuk budaya bagi sesebuah tamadun. Islam menerapkan nilai-nilai ketauhidan, Hindu dengan tradisi hikayatnya yang kaya, Buddha mengajarkan kita peri penting altruisme, dan Kristian sering saja berbual soal-soal kemaafan. Begitu juga dengan pembentukan budaya. Budaya yang ada di Amerika tidak sama dengan budaya yang mekar di Malaysia. Setiap daripada budaya mereka berpantulkan sejarah, undang-undang, dan adat resam yang unik. Kedua-dua ini seterusnya memperkayakan lagi perbezaan dan warna antara manusia, dan kepada ini aku ingin menyoal: adakah perbezaan-perbezaan ini tunjang utama bagi menyalakan api perang?

Jawab aku: tidak tentu. Dalam setiap penganut agama dan warga negara, ada si cerdik dan ada si bangang. Ada yang ekstrimis dan ada yang bertamadun. Sementara agama dan nilai-nilai kewarganegaraan menekankan betapa pentingnya mengangkat rasa kemanusiaan, ada manusia yang akur dan ada juga yang berdolak-dalih. Lalu kita bakal ketemu bahawa bukanlah perbezaan yang meminyaki perbalahan melainkan sifat kebinatangan dan kebobrokan manusia itu sendiri. Dan mereka ini kadang-kadang berjumlah orangnya.

Dan aku teringat firman Allah dalam surah Al Hujurat ayat ketiga-belas:

"O mankind, indeed We have created you from male and female and made you peoples and tribes that you may know one another. Indeed, the most noble of you in the sight of Allah is the most righteous of you. Indeed, Allah is Knowing and Acquainted."

Kata aku, bawakan saja perbezaan! Bawakan saja budaya asing dan resam lain, supaya kita saling berkenal-kenalan. Supaya kita belajar dan menghargai perbezaan. Supaya kita faham dunia ini milik kongsi bersama. Barangkali kita tidak perlu memukul rata agama dan negara menjadi tiada untuk menjadi aman, kita cuma perlu mendidik diri dan masyarakat untuk menerima perbezaan dan wujudkan toleransi, dan insyaallah, rahmat dari syurga akan turun mengasihi umat-umat manusia sekalian. Segalanya mungkin atas nama Ar Rahman dan Ar Rahim.


Kuasa penterjemahan keatas sastera.

$
0
0
Snow, Orhan Pamuk.


I.

Tempoh hari, saudara Nazreen memberitahu aku bahawa penterjemahan karya tidak semestinya harus tepat seperti karya asli. Ia boleh jadi berbagai, menurut interpretasi dan pemahaman si penterjemah itu sendiri. Tulisnya lagi: "tujuan terjemah bukan nak samakan makna, tapi beri makna baru." Sebagai contoh, dia menyebut tajuk buku Said Zahari 'Meniti Lautan Gelora' yang kemudiannya diberikan nama baru dalam bahasa inggeris - Dark Cloud at Dawn. Secara peribadi, aku teringat ketika aku membelek buku-buku dirak sastera melayu di MPH, aku terjumpa karya terjemahan inggeris Sasterawan Negara A. Samad Said dengan nama "The Morning Post" terpampang atas kulitnya. Seingat aku, tajuk asalnya 'Hujan Pagi' seperti yang pernah aku khatamkan beberapa tahun lepas.


Ini lantas menyedarkan aku tentang kuasa penterjemahan karya itu sendiri. Karya-karya yang diterjemah adalah karya yang tidak lagi suci. Ia dinodai dan dicabul oleh tangan-tangan penterjemah yang rakus. Kulitnya dikoyakkan, isi dagingnya dirobek keluar, dan diisikan makna-makna dan kalimah-kalimah baru menggantikan ruang kosong. Oleh itu, karya yang diterjemah sering saja memberi makna yang berbeza dari karya yang ditulis pengarang asal. Kadang-kadang, ada makna dan erti yang segar dimuatkan oleh penterjemah, dan kadang-kadang juga, ada makna dan erti lain yang dicungkilkan supaya ia tidak lari dalam konteks bahasa yang hendak diterjemahkan itu. Semua itu dalam pemahaman dan interpretasi si penterjemah-penterjemah itu sendiri.

Jadi apabila aku membaca Snow, atau Kafka On The Shore, atau Siddhartha, itu bukanlah sastera seperti yang ditulis penulis asal. Ia adalah pantulan dari karya penulis-penulis (Orhan Pamuk, Haruki Murakami, Herman Hesse) yang kemudiannya dicetak sebagai buku-buku untuk dipamerkan ditoko-toko buku. Dan ini - serba sedikit - membuatkan aku sedih. Manakan tidak? Snow itu bukanlah seratus peratus seperti yang difikirkan oleh Orhan Pamuk, dan Kafka On the Shore itu juga bukanlah secara penuh ditumpahkan atas kertas oleh lelaki bermata sepet yang westernized di Jepun itu. Ada penterjemah lain datang dan mengubah - baik secara banyak atau sedikit - karya-karya asal itu tadi untuk kefahaman pembaca-pembaca lain.

Kita pun bertanya, apakah Snow akan tetap diangkat sebagai karya yang baik sekiranya ia tidak diterjemahkan? Bagaimana pula dengan buku-buku  seperti My Name Is Red, Norwegian Wood, dan lain-lain? Secara tidak lansung kita harus akui peranan dan tanggungjawab yang dipikul penterjemah-penterjemah itu dalam perkembangan sastera. Sementara ada makna0makna dan kalimah-kalimah yang diubah, mereka jugalah yang bertanggungjawab melebarkan pembacaan karya-karya tersebut ke ruang yang lebih luas dan terang. Sekiranya penterjemahan itu tidak berlaku, maka mustahillah karya-karya gergasi ini akan dijulang sedemikian rupa (malah ada yang diadaptasikan kelayar perak!). Malah kita juga berpeluang untuk menikmati kekuatan yang baru dari karya-karya yang diterjemah tadi. Penterjemahan tidaklah sentiasa membawa perkhabaran buruk dan gelap gelita. Ada juga sisi-sisi baiknya, dan inilah yang perlu kita manfaatkan.

Dengan itu, aku berdoa agar lebih banyak lagi karya-karya asing diterjemahkan kedalam bahasa kebangsaan. Karya-karya agung, baik dari Amerika, Eropah, dunia-dunia Arab, dan negara-negara Asia yang lain wajar diterjemahkan, dicetak dan diedarkan untuk pembacaan segenap masyarakat. Bangsa yang yakin dengan bahasanya adalah bangsa yang punya jati diri yang kuat, meskipun terpaksa menempuh dan dilanggar oleh arus deras globalisasi pada abad kedua-puluh satu ini.

II.

Ini hasil terjemahan puisi 'Invictus' yang aku bikin tempoh hari. Selamat membaca.

Daripada malam yang menenggelamkanku
Hitam seperti lubang dari tiang ke tiang
Aku bersyukur kepada mana-mana tuhan yang mungkin
Untuk sukmaku yang tak tergoncang.

Dari terlepasnya pegangan dari keadaan
Aku tidak menggerenyet, tak juga meraung
Peluang datang keras mendetak
Kepalaku berdarah, tapi tak tertunduk.

Merentasi tempat penuh kemurkaan dan air mata
Akan datang kengerian dari bebayangan
Tetapi kejahatan –kejahatan setelah bertahun
Menemui, dan bakal menemuiku, tidak takut.

Tak peduli bagaimana sulitnya pintu gerbang
Atau apa jatuhnya hukum dengan scroll
Aku adalah tuan bagi takdirku;
Aku adalah nakhoda bagi jiwaku.


III.

Ini pula rencana terbaru aku yang diterbitkan di Jalan Telawi. Puisi yang dipamerkan adalah versi yang telah disunting. Sila klik sini.

Enam hal yang lain-lain mengenai Nelson Mandela.

$
0
0
Rencana ini adalah sebuah terjemahan bebas dari 'Six things Nelson Mandela Believed That Most People Wont Talk About' oleh Aviva Shen. Karya asalnya boleh dibaca disini.


Mandela bersama Fidel.

Dalam keinginan kita untuk menyambut kehidupan Nelson Mandela –  tokoh yang berjaya meruntuhkan rejim zalim Apartheid di Afrika Selatan – adalah penting untuk kita menyeragamkan pandangannya kepada sesuatu yang boleh diterima masyrakat umum. Walaubagaimanapun, hasilnya bukanlah satu gambaran yang tepat mengenai lelaki itu.

Mandela adalah seorang pejuang politik dan penghasut. Beliau tidak pernah lekang dari kontroversi dan tidak juga berusaha mendapatkan – atau memperolehi – persetujuan semua orang dalam tindakan-tindakannya. Samada sebelum atau sesudah dibebaskan dari tahanan, beliau memegang teguh prinsip-prinsip progresif dan provokatif. Seorang pengulas ada menyebut tidak lama sesudah pengumuman kematian pejuang kebebasan itu bahawa, “Mandela tidak akan jadi hanya sekadar seorang pendendang. Selepas beberapa hari ini anda akan cuba mengubahnya, berusaha untuk memalsukan penampilannya, dan anda akan menemui kegagalan. Anda akan melembutkannya, membersihkannya, menanggal ‘Malcom X’nya. Anda akan cuba menghalang kelantangannya daripada dilihat orang ramai.”

Sementara seluruh dunia mengingati Mandela, berikut adalah perkara-perkara yang dia yakin akan cuba disembunyikan dan disorokkan oleh banyak orang kelak.

1.      Mandela menempelak Peperangan Iraq dan Penjajahan Amerika. Mandela memanggil Bush “seorang presiden yang tidak punya wawasan yang jauh, seseorang yang tidak mampu berfikir waras,” dan menyelar beliau untuk “mengheret dunia ini kelembah pembinasaan” dengan melancarkan perang di Iraq. “Apa yang Bush mahukan di Iraq hanyalah minyak,” Ujarnya. Malah Mandela juga mengandaikan bahawa Setiausaha-Agung Kofi Annan tidak diberi perhatian dan penghormatan sewajarnya kerana beliau berkulit hitam. “Mereka tidak pernah lakukan sedemikian sekiranya setiausaha-agung mereka berkulit putih,” tambahnya lagi. Mandela melihat Peperangan Iraq sebagai satu masalah besar rentetan Penjajahan Amerika diseluruh pelusuk dunia. “Sekiranya ada sebuah negara yang bertindak zalim melakukan kekejaman-kekejaman yang tidak terkata, ia adalah Amerika Syarikat. Mereka  memang tidak peduli.”

2.       Mandela memanggil pembebasan dari kemiskinan sebagai satu “hak asasi manusia.” Mandela menganggap kemiskinan sebagai salah satu kebejatan yang dahsyat, dan dimana-mana beliau akan bersuara lantang menentang ketidak-adilan. “Kemiskinan dan Ketidak-adilan adalah wabak yang dahsyat dalam zaman kita – zaman dimana dunia mempunyai kemajuan yang menakjubkan dalam bidang sains, teknologi, industri, dan pengagihan kekayaan – bahawa kedua-dua kebobrokan tadi harus disenarai disebelah penghambaan dan apartheid sebagai salah satu daripada kejahatan sosial,” katanya.  Bukan setakat itu sahaja, beliau juga menganggap menghabisi kemiskinan sebagai satu tanggungjawab asas manusia: “Mengatasi kemiskinan bukanlah satu kelakuan amal. Ia adalah satu tindakan yang yang membawa keadilan. Ia adalah perlindungan terhadap hak asasi manusia, hak untuk hidup bermaruah dan baik,” katanya. “Sementara kemiskinan kekal berterusan, tidak akan wujud kebebasan yang sebenar.”

3.      Mandela mengkritik ‘Perang Keatas Keganasan’ dan pelabelan seseorang individu sebagai pengganas tanpa sebarang proses yang adil. Sebagai salah seorang yang termuat dalam senarai pemerhatian pengganas Amerika Syarikat sendiri, Mandela pengkritik yang lantang terhadap “Peperangan Atas Keganasan” anjuran Presiden George W. Bush. Beliau memberi amaran terhadap pelabelan seseorang individu sebagai pengganas tanpa sebarang proses yang adil. Sementara beliau menggesa Osama Bin Laden dihadapkan ke muka pengadilan, Mandela juga turut menambah, “Pelabelan Osama Bin Laden sebagai pengganas yang bertanggungjawab sebelum dia dibicarakan dan disabitkan boleh dilihat sebagai satu penjejasan terhadap rukun-rukun asas Kedaulatan Undang-undang.”

4.      Mandela mengecam perkauman di Amerika. Pada kunjungannya di bandar New York 1990, Mandela melawat Harlem dan memuji perjuangan rakyat Amerika berkulit hitam yang melawan “penindasan dalam bentuk diskriminasi kaum dan kesamarataan ekonomi.” Beliau mengingatkan orang ramai yang sedang berhimpun di Stadium Yankee ketika itu bahawa perkauman bukanlah masalah ekslusif bagi Afrika Selatan sahaja. “Sebagaimana kita sedang meniti dekad-dekad terakhir abad ke-20, ia (perkauman) masih tidak boleh diberi muka, tak terterima, dan bahawa barah perkauman sedang memakan perca-perca kemasyarakatan yang datang dari pelbagai tempat di planet kita,” kata Mandela. “Setiap daripada kita, samada berkulit hitam atau putih, perlu gigih melawan setiap bentuk dan manifestasi nafsu perkauman tanpa mengira tempat dan waktu apabila ia cuba memunculkan wajah hodohnya.”

5.      Mandela mempunyai hubungan yang rapat dengan musuh-musuh ketat politik Amerika Syarikat. Mandela menimbulkan kejutan dan kemarahan banyak komuniti di Amerika akibat keengganan beliau mengeji diktator Cuba Fidel Castro atau Kolonel Muammar Gaddafi (Libya), yang pernah meminjamkan sokongan terhadap beliau dalam perjuangannya menentang apartheid di Afrika Selatan. “Salah satu kesilapan dunia Barat lakukan adalah dengan membuatkan kita fikir musuh-musuh mereka patut jadi musuh-musuh kita,” jelasnya kepada penonton TV di Amerika. “Kami punya perjuangan kami sendiri.” Beliau menambah, pemimpin-pemimpin tersebut “memberi sumber ditangan kita untuk memenangi perjuangan kami.” Selain itu, beliau juga mengenali pemimpin Organisasi Pembebasan Palestin (Palestinian Liberation Organization) yang kontroversi itu, Yasser Arafat sebagai “rakan seperjuangan.”

6.     Mandela merupakan penyokong tegar Kesatuan-Kesatuan Buruh. Mandela pernah melawat Kesatuan Buruh Detroit dalam kunjungannya di Amerika Syarikat, dan serta merta menuntut persaudaraan dikalangan mereka. “Saudara saudari, sahabat taulan, dan rakan-rakan seperjuangan sekalian, lelaki yang bercakap didepan kamu ini bukanlah seorang lelaki yang asing,” ucap beliau. “Lelaki ini adalah salah seorang ahli UAW (United Autumobile Worker). Saya juga sebahagian daripada darah daging kamu.”

Sepuluh buku yang paling diingati.

$
0
0
Ia sudah 24 Disember dan tinggal berapa hari lagi sebelum tahun baru dan demonstrasi kemarahan orang ramai perihal kos sara hidup menyusul. Tidak lupa juga dengan peperiksaan akhir semester yang bakal bermula enam Januari depan. Anggap sajalah ini terbitan terakhir aku diblog ini untuk tahun ini, sebagai penutup tirai untuk tahun  2013 yang mencabar dan semakin mematangkan.

Tempoh hari ada seorang kawan tag aku difacebook dalam senarai sepuluh buku yang mengesannya secara mendalam sepanjang tempoh pembacaannya. Antara buku-buku yang dimuatkan olehnya termasuklah The Memory Book oleh Tony Buzan dan A Study in Scarlet karya Sir Arthur Conan Doyle. Peraturannya mudah: sekali kau ditag, kau juga harus menyusun senarai sepuluh buku yang tersendiri untuk dikongsi dengan umum. Berikut adalah penyusunan yang aku kutip dari relung-relung otak dan ingatan-ingatan yang terkumpul, samada fiksyen atau non-fiksyen dengan komentari ringkas mengenai isi dan kesan buku tersebut pada pemikiran aku secara peribadi.

1. 100: Kedudukan Tokoh Paling Berpengaruh dalam Sejarah. (Versi terjemahan Bahasa Melayu) - Michael H. Hart.

Saya mengenali Francis Bacon melalui buku ini.

Barangkali inilah buku berilmiah yang terawal aku baca sepanjang usiaku. Waktu itu aku baru saja mencecah  umur12 tahun dan abah aku menghadiahi buku tebal ini untuk kuhabiskan sebelum UPSR. Dia kata buku ini bagus untuk pengenalan tokoh-tokoh terkemuka dan latar belakang sejarah. Menerusi buku ini, Michael H Hart menyenaraikan seratus tokoh yang paling berpengaruh dalam sejarah dan menyusunnya dari #1 (Nabi Muhammad S.A.W.) hingga ke #100 (Niels Bohr) menurut sumbangan mereka terhadap peradaban dunia.

Nama-nama asing yang tidak pernah aku dengar, seperti Karl Marx, Alexander The Great, atau Francis Bacon mengusik kesedaran aku yang masih muda. Dari situ aku kenal sumbangan Cai Lun dalam penemuan kertas, Columbus yang menjajah Amerika, dan Adolf Hitler yang mengheret dunia ke Perang Dunia Kedua. Selain itu, buku ini juga secara tidak lansung mencambah minatku terhadap sejarah dan falsafah, dan bagaimana pemikir-pemikir dan ahli sains ulung zaman purba seperti Aristotle dan Plato, John Locke yang mengajar fahaman liberal, dan sumbangan Copernicus dalam mengusulkan sistem suria heliosentik (bahawa matahari adalah pusat alam semesta, bukan bumi seperti yang diterima zaman itu) membentuk dunia moden kita seperti yang kita kenal sekarang.

Aku akui tidak banyak yang aku faham ketika membaca buku yang berat ini (sewaktu usiaku 12 tahun), tentang fungsi Komunisme ataupun Protestanisme, tetapi ia secara tidak lansung membuka gerbang mindaku kedunia yang lebih luas dan terang. Ia memperkenalkan kepadaku nilai-nilai sejarah yang penting untuk kita fahami dan fikirkan dalam pemerhatian kita terhadap dunia - dan manusia secara keseluruhannya.

Buku ini hilang sewaktu aku pindah rumah dari Lembah Pantai ke Puchong. Aku cuba mencarinya disebalik rak-rak yang berhabuk dan stor yang sarat dengan barangan-barangan lama, tetapi menemui kegagalan. Mungkin aku harus menjenguk buku ini di Kinokuniya dan membacanya sekali lagi sampai habis, kali ini bukan sebagai Johan Radzi darjah enam tetapi Johan Radzi yang berusia 20 tahun yang lebih matang dan dewasa.


2. Angels & Demons - Dan Brown.


Salah satu poster filem Angels & Demons.

Ini karya ketiga Dan Brown yang kubaca dan merupakan pengembaraan pertama Robert Langdon sebelum dia mencari Holy Grail di Eropah dan Freemason di Amerika Syarikat. Berlatar belakangkan Vatican yang diancam sebuah bom yang lebih dahsyat dari nuklear, buku ini adalah satu pertempuran antara sains dengan agama, tradisi dan modernisasi, dan penemuan simbol-simbol yang kuno dan aneh yang bakal kita jumpa digereja-gereja lama di kota peradaban Kristian itu.

Aku tertarik dengan idea Dan Brown meletakkan seorang religion symbologist yang atheis ditengah-tengah kota Vatican dan melilau mencari bom antimatter ciptaan CERN, yang dijangka kekuatannya melebihi bom yang gugur di Hiroshima itu. Ita adalah satu ironi yang disengajakan, yang membuat kita merenung dan berfikir sejenak tentang sifat lawan  - seperti yang dicadangkan tajuknya sendiri. Bukan setakat itu saja, Dan Brown juga merangka plotnya dengan cermat dan kemas sekali, diadunkan lagi dengan perasaan-perasaan dan buah fikiran wataknya yang pasti menggugah perasaan pembaca. Adalah dalam lima kali aku khatamkan buku ini - melebihi mana-mana buku yang pernah aku baca sepanjang hayat.

Pada tahun 2009, buku ini telah diadaptasikan kebentuk filem arahan Ron Howard. Ia - bagi aku secara peribadi - adalah sebuah cubaan yang baik, tetapi gagal dalam perlaksanaannya. Babak-babak yang menarik, seperti ketika Robert Langdon terjun dari helikopter beberapa detik sebelum langit dibinasakan dicungkil keluar oleh tuan pengarah, menyebabkan aku pulang dari panggung dengan perasaan yang hampa dan sedikit kecewa.


3. His Dark Materials trilogy - Phillip Pullman.





Aku mula membaca The Golden Compass atas saranan seorang kawan di SM Sains Selangor. Dia menceritakan kepada aku - dengan penuh semangat - tentang beruang-beruang kutub yang menyarung perisai besi dan daemon-daemon yang mendampingi setiap manusia sebagai permanifestasian rohnya. Aku terus saja tertarik. Aku meminjam buku ini dari sebuah perpustakaan, membacanya dan demi Tuhan, ia seindah seperti yang dikhabarkan!

Phillip Pullman mencampurkan unsur-unsur teologi dan mitos dalam trilogi ini, dari The Golden Compass, The Subtle Knife, sampailah ke The Amber Spyglass. Didunia ini, perempuan-perempuan sihir menguasai langit utara dan para malaikat berkhidmat untuk sebuah 'tuhan' yang zalim bernama The Authority. Gereja-gereja didirikan sebagai pengukuhan kuasa tuhan atas muka bumi dan ditengah-tengah kekuasaan ini, seorang Professor Oxford memimpin sebuah pemberontakan besar dalam menggulingkan 'Tuhan' yang leka dikerusi syurganya.

Filemnya yang ditayangkan pada 2007 juga adalah satu kehampaan, dan aku berdoa pengarah itu tidak lagi membikin filem yang semurah itu untuk dijualkan kepada penonton.


4. Hujan Pagi - A. Samad Said.

Sasterawan Negara A. Samad Said.

Hujan Pagi berkisar tentang dunia kewartawanan, unsur-unsur mitos dalam hikayat-hikayat lama melayu, dan pertembungan antara dunia mimpi dan dunia realiti.

Aku pernah menulis review perihal buku ini. Ia boleh dibaca disini.


5. A Little History of the World -E.H. Gombrich.



Buku ini dipinjamkan oleh abah tahun lepas. Ia adalah sebuah buku sejarah yang ditulis oleh seorang sejarawan kesenian dan ditulis di Vienna. Ia ringkas, ditulis secara prosaik, dan mesra kanak-kanak yang cuba membaca sejarah dari suara yang lebih lembut dan memahami.

Aku pernah menulis review perihal buku ini di Jalan Telawi. Ia boleh dibaca disini


6. Pergolakan Pemikiran Islam - Ahmad Wahib.

Ahmad Wahib.

Ini adalah catatan-catatan peribadi Ahmad Wahib, seorang wartawan dan persoalan-persoalan provokatifnya terhadap agama, masyarakat, politik, dan sejarah - khasnya Indonesia.

Ahmad Wahib bersifat jujur menerusi catatan hariannya. Beliau merakamkan kegelisahannya mengenai masyarakat dan islam dengan begitu berkesan tanpa berlaku sebarang nilai ganda (double standards) yang kita sering nampak dibuku-buku islam kontemporari. Ahmad Wahib cuba menyelesaikan permasalahan-permasalahan ini melalui pemikiran dan kaedah sains yang menyeluruh, dengan berpokok pada satu tunjang utama: yakni berfikir.

Catatannya terasa begitu dekat dengan hati. Barangkali kerana kami pernah berkongsi rasa dan kegelisan yang sama, mengenai hal-hal yang tidak perlu kita menjadi hipokrit dengan menidakkan. Ini adalah sebuah buku yang harus dibaca oleh orang-orang islam yang mahu mencari jawapan alternatif pada kegelisahan-kegelisahan yang merenggut masyarakat kita pada hari ini.


7. Norwegian Wood - Haruki Murakami.

Salah satu babak penting dalam Norwegian Wood.

Norwegian Wood adalah buku non-surreal yang pertama ditulis oleh Haruki Murakami. Untuk memecah tembok Arus Perdana, Haruki terpaksa berdepan dengan kenyataan bahawa menulis gaya realistik adalah perlu untuk tujuan itu. 

Membaca buku ini membuat aku teringat pada "The Catcher in The Rye" nukilan J.D. Salinger. Ini kerana gaya penceritaannya, wataknya, dan perspektifnya banyak yang sama. Kedua-dua Watanabe dan Holden Caulfield tidak mahu membesar, terperangkap didalam dunia pengasingannya sendiri, serta "bijak" dalam cara yang sukar difahami orang kebanyakkan. Malah kedua-dua mereka sangat gemarkan membaca. Maka tidak hairanlah mengapa Watanabe seringkali dijoloki dengan nama "Holden Caulfield dari Timur" kerana persamaan yang mereka kongsikan.

Tetapi sudah tentu, Norwegian Wood lebih berat dari itu. Haruki menyuntikkan unsur-unsur pengasingan masyarakat, kehampaan seksual, alam kedewasaan, kebangkitan Mahasiswa Jepun pada era tersebut, dan diadunkan lagi dalam satu pengembaraan emosi yang pahit dan penuh derita. Ia sebuah keajaiban yang sarat dengan allegori dan simbolik. Seringkali sesudah membaca buku ini, kita akan diserbu persoalan-persoalan yang membuat jiwa tidak tenteram berfikir tentangnya.

Buku ini adalah heroin didalam betuk kertas, mengasyikkan, menjadikan aku insomnia dalam meredah malam-malam yang panjang.

Norwegian Wood juga pernah diadaptasi ke layar perak pada tahun 2010. Tetapi sekali lagi, aku agak hampa dengan perlaksanannya kerana filemnya itu lebih kepada satu kesimpulan berbanding pengolahan semula buku itu kedalam bentuk yang segar dan baru. Walau bagaimanapun, untuk berlaku adil, tatar muzik dan imej-imejannya harus diberi pujian. Ia sangat cantik dan luar biasa sekali.


8. Snow - Orhan Pamuk.

Satu lagi karya yang hebat dari Orhan Pamuk.
Dalam setiap watak-watak fiksyen yang aku pernah baca, Ka dari Snow adalah watak yang paling dekat dengan hati. Kegelisahannya, kehampaannya, dan penyesalannya ibarat salji-salji yang turun dikota Kars yang suram, dingin dan penuh misteri.

Review aku untuk Snow boleh dibaca disini.


9. 1515 - Faisal Tehrani.

Faisal Tehrani, atau nama sebenarnya Faizal Musa.

Siapa masih ingat "Kerana manisnya epal", cerpen yang dimuatkan dibuku KOMSAS kita sewaktu ditingkatan lima? Itu Faisal Tehrani yang menulisnya, seorang pengarang kontroversi dan berbakat yang terkenal dikalangan anak-anak muda yang sedang cuba berjinak-jinak dengan dunia kesusasteraan.

Barangkali Faisal tidak akan menulis buku lain yang lebih gah dari 1515, dengan plotnya yang cantik, unsur-unsur oksidentalisme, mistikisme, feminisme, serta latar belakang sejarah melayu alternatif, ia adalah sebuah persembahan yang menggetar perasaan dari seorang penulis tanah air. Sesudah 1515, aku cuba membaca karya-karya lainnya, Tuhan Manusia, Manikam Kalbu, Bedar Sukma Bisu, dan lain-lain, tetapi masih tidak ada yang mampu menandingi kekuatan yang disampaikan melalui buku ini.

Ia mengenai seorang sejarawan yang menghidap amnesia dan seorang srikandi bernama Nyemah Mulya dari zaman Kejatuhan Kota Melaka semasa pelanggaran Portugis. Dua watak dari waktu yang berbeza ini cuba 'berhubung' dan menulis semula sejarah dalam lembaran yang baru, tidak terkotorkan oleh unsur-unsur penyelewangan tangan-tangan Orientalis. Selain itu, ada juga bibit-bibit cinta tiga segi dan kekuatan wanita dalam mengharungi dugaan dan cabaran hidup dunia moden.


10. Laskar Pelangi - Andrea Hirata.

Poster filem Laskar Pelangi.

Buku ini adalah perjuangan anak-anak kecil yang miskin di Pulau Belitong dalam usaha mereka meniti ilmu pengetahuan dan cerita mereka di pulau yang, seperti sahibul hikayat memberitahu kita, kaya dengan sumber alam tetapi rakyatnya miskin dek campur tangan syarikat swasta yang kapitalis dan mementingkan diri. Hirata mengajak kita untuk memakai kasut merah jambunya dan berjalan dipersisiran Pulau Belitong, mengenal Lintang yang cerdas, Bodenga, bomoh buaya yang kesepian, Pak Harfan yang membangunkan sekolah agama, Bu Mus yang gigih mendidik, dan orang-orang kampung yang lucu gelagatnya. 

Selain watak-wataknya yang mewarnai rangka plot, Hirata juga menunjukkan kepada kita sisi gelap Pulau Belitong. Tentang korupsi yang berakar kuat, pembahagian kekayaan yang tidak sekata, diskiriminasi terhadap anak-anak yang tidak kaya, dan tembok-tembok angkuh yang didirikan untuk memisahkan golongan yang kaya dan golongan yang sederhana. Hirata jujur dalam penceritaannya, tidak berselindung dan tidak berpura-pura, dan suaranya penuh optimis - dia yakin dengan pendidikan dan kuasanya untuk mengubah dunia. Sekiranya Nelson Mandela pernah membaca Laskar Pelangi, sudah tentu beliau tersenyum mengenangkan anak yang - meskipun kakinya terjunam dilumpur - menggantungkan cita-cita yang tinggi dicelah para bintang.

Pendek kata, bukunya wajar dibaca oleh mereka yang dahagakan sastera-sastera melayu yang baik dan sarat nilai. Ia mengesani aku dalam cara-cara yang sukar diungkapkan, memberi kita sebagai pembaca kesedaran untuk tidak lelah mencari ilmu dalam mengangkat darjat kita sebagai insan yang berfikir.

Filem ini juga pernah diadaptasi kelayar perak, dan tidak seperti filem-filem yang diadaptasi dari buku-buku sebelum ini, Laskar Pelangi bikinan Riri Riza lansung tidak mengecewakan. Ia murni. Ia jujur. Ia adalah satu persembahan yang membuat kita tidak jemu-jemu menonton kehidupan disebuah pulau yang kecil dan sederhana.

Satu kata-kata yang aku sukai dari filem ini datang dari bibir Pak Harfan: "Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya." 

Dengan itu, aku ucapkan: selamat tinggal untuk 2013! Semoga kita semua ada kekuatan untuk menempuh tahun-tahun yang berikutnya.

Tariq Ramadan: Hormat-menghormati, pemikiran kritikal, dan kepentingan berdialog.

$
0
0
Nota: Sebagai pembuka tirai 2014, saya menerjemah wawancara Zakiah Koya bersama Tariq Ramadan dari blog ini. Selamat membaca.


Professor Tariq Ramadan.

Profesor Tariq Ramadan adalah seorang ilmuwan Muslim Eropah yang menyokong pembaharuan dalam kerangka Islam dan menggalakkan persefahaman antara agama. Dilahirkan di Switzerland dan cucu kepada pengasas Ikhwanul Muslimin, Hassan Al Banna, ilmuwan Eropah ini telah dinobatkan sebagai salah seorang daripada 100 tokoh paling penting untuk abad kedua puluh satu oleh majalah Time. Beliau memberitahu Zakiah Koya semasa lawatannya ke Kuala Lumpur baru-baru ini bahawa umat Islam perlu berani untuk bergerak dari formalisme - penetapan pada ibadah semata - ke arah penekanan kerohanian dan kemasyarakatan yang lebih mengesan.

Kebanyakan muslim percaya bahawa Islam adalah agama yang sempurna, lalu mereka merasakan tidak perlu untuk mengadakan sebarang dialog bersama penganut-penganut agama lain. Mereka sering bertanya: apa pentingannya? Jadi apa pandangan saudara mengenai itu?

Islam adalah agama yang sempurna, ya, tetapi kefahaman kita sebagai manusia sering terbatas. Berurusan dengan penganut-penganut agama lain bermakna kita mencabar keterbatasan itu. Dengan mengadakan dialog, samada dengan penganut agama Yahudi, Nasrani, Buddha, agnostik, atau atheist (mulhid), ia sedikit sebanyak akan membantu kita dalam mencelikkan mata kita terhadap perkara-perkara yang sering kita terlepas pandang.

Sebagai contoh, apabila saya berada di Amerika Selatan, para paderi disana sering berkhutbah tentang Cinta. Jadi, saya belajar untuk bercakap juga tentang sisi kerohanian cinta dalam Islam dan kepentingannya dalam kehidupan. Pengalaman orang lain banyak membantu kita dalam mempunyai pandangan yang segar terhadap agama kita sendiri.

Apabila kita bercakap mengenai nilai-nilai murni, tentang maruah dan perpaduan, dan berbicara mengenai hal-hal perkauman, dialog boleh menyelesaikan banyak masalah. Ini kerana akhirnya apabila berurusan dengan orang-orang yang berbeza, kita akan menanyakan soalan - mengapa kau perlu mendengar pandanganku? - Kerana bersama-sama kita mahu mengubah dunia menjadi lebih baik. Kita mahu menjadikan dunia sebuah tempat yang lebih sentosa untuk kita kecapi bersama.

Malaysia sukar untuk mempunyai masyarakat yang mengangkat nilai perpaduan sekiranya ia tidak mengamalkan dialog sesama mereka dari kalangan agama yang berbeza. Terdapat banyak wilayah asing yang boleh kita terokai. Sebagai contoh kita bertanyakan soalan: mengapa kita percaya dengan apa yang kita percaya? Adakah seseorang yang mengimani Allah boleh berasa tenang sementara 100,000 saudaranya mati kelaparan setiap hari?

Atau adakah ada seseorang yang, apabila kita bercakap kepadanya tentang isu pemanasan global, boleh yakin bahawa Allah menyenangi tindakan-tindakan kita? Dia tidak! Dialog boleh jadi sangat bermakna jika ia dibuat dengan niat untuk mengenal dan memahami dan bukan sekadar pertukaran kata-kata semata.

Kalau muslim mengatakan agama mereka sempurna, mengapa saudara begitu menekankan pembaharuan dalam Islam?


Saya tidak mengatakan begitu. Islam tidak perlu diperbaharui dan dalam Islam itu sendiri ada alat-alat yang penting untuk umat Islam perhalusi demi mendapatkan kefahaman mengenainya. Apa yang perlu kita perbaharui adalah minda umat Islam. Panduan-panduan yang umat Islam rujuki - Al-Quran dan hadith - akan terus kekal sebagai panduan. Mereka tidak akan berubah. Kita mempunyai prinsip-prinsip yang tidak berubah.

Namun, kita juga sedang menghadapi pelbagai cabaran dan tuntutan zaman moden. Islam adalah untuk setiap zaman dan setiap keadaan tetapi apakah yang akan membantu kita untuk menghadapi belenggu-belenggu itu? Akal budi sudah tentu! Maka kita perlu membakar akal kita dengan percikan-percikan pemikiran yang lebih rasional. Pemikiran yang bekulah yang sering mengkhinati nilai-nilai yang tersirat dalam agama kita, sementara pemikiran yang cerdas menjadikan nilai-nilai Islam lebih terbuka dan bersifat sarwajagat.

Kepada siapakah hal ini perlu dipertanggungjawabkan?

Ia adalah satu tanggungjawab yang harus dipikul semua orang. Sudah tentu, yang pertama untuk disebut adalah para ilmuwan, ulama dan intelektual. Mereka perlu datang dengan sebuah matlamat yang tetap dan menyelesaikan permasalahan dengan ilmu-ilmu yang mereka telah dipersiagakan. Mereka pengkaji kitab dan sumber-sumber tradisi islam. Jadi, saya akan mengatakan mereka mempunyai tanggungjawab yang besar untuk dipikul atas bahu mereka.

Umat Islam secara umum juga harus sedar bahawa mereka pun mempunyai tanggungjawab yang tersendiri untuk dilaksanakan. Mereka harus memahami bahawa mereka tidak boleh hanya menyalahkan pihak pemerintah untuk setiap musibah yang melanda. Mereka ada kuasa untuk membawa perubahan, biarpun hanya sebagai rakyat biasa. Akibatnya umat Islam terlalu mundur, menanggapi bahawa merekalah mangsa keadaan dan menuduh sana-sini atas kejatuhan yang berpunca daripada diri sendiri.

Malaysia adalah sebuah negara yang bersifat majmuk dan terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum. Bagaimanakah Islam menanggapi kepelbagaian kaum dari sudut pandangnya?

Kepelbagaian-kepelbagaian ini adalah kehendak Allah. Al-Quran menyebut bahawa jika Allah mahu, Dia boleh saja ciptakan kita hanya dalam satu kaum. Firman-Nya: Kami menjadikan kamu berpuak-puak dan berbangsa-bangsa supaya kamu saling kenal mengenal antara kamu.

Oleh kerana itu sebahagian daripada kehendak Allah, justeru toleransi antara kaum sahaja tidak memadai. Kita perlu menghormati mereka dan pegangan yang mereka anuti. Seorang ulama yang tersohor pernah berkata dalam sebuah persidangan: "Siapa mahu hanya toleransi bila kita bisa saling hormat-menghormati?"

Lantas dalam Islam, kata kuncinya adalah hormat-menghormati. Keberadaan kita didunia ini sendiri adalah kehendak Allah. Penting untuk umat islam sedar bahawa Allah mahukan agama Nasrani, Yahudi, Buddhisme, mahupun fahaman-fahaman seperti Atheisme dan Anarkisme untuk ada didunia ini sebagai salah satu kehendak-Nya. Untuk menghormati antara satu sama lain bermaksud "Saya terima anda, saya menerima hakikat bahawa anda wajar dihormati sebagai manusia, dan paling penting, saya diperintah oleh Allah untuk mengenali anda supaya kita saling berkenal-kenalan. Rasa hormat-menghormati adalah untuk menerima perbezaan kita dan mengenali anda dengan lebih baik." Maka saya simpulkan, toleransi sahaja tidak memadai. Kepelbagaian ini adalah apa yang Allah mahukan.

Dalam masa yang sama, umat islam juga perlu sedar bahawa dalam kerangka islam itu sendiri tidak pernah ada pemikiran yang seragam. Ada kepelbagaian dalam islam, dan ini adalah realiti.

Jangan sekali-kali kita lupa bahawa kepelbagaian ini bukan sahaja satu cabaran tetapi juga satu anugerah. Melalui dialog bersama pihak-pihak lain, kita menjadi lebih matang.

Kebanyakan masyarakat islam dipimpin para ulama dan ilmuwan. Mereka menjadi watak yang disanjungi oleh banyak pihak. Apa yang mereka katakan akan diterima bulat-bulat tanpa soal. Lantas, begitu banyak orang islam membesar dengan perasaan takut untuk menyoal. Ini adalah sesuatu yang tidak sihat, bukankah begitu?

Kita harus menghormati para ilmuwan tetapi pada masa yang sama, kita juga harus tidak takut untuk menyoal mereka, terutamanya untuk zaman ini. Apa yang disebutkan sekarang tidak sama seperti apa yang disebutkan 15 tahun lepas kerana kita sentiasa berdepan dengan tuntutan-tuntutan baru. Apa yang saya hendak sampaikan disini adalah umat islam harus berhenti bertaqlid buta dan menyalahkan para ulama sementara anda sendiri tidak memanfaatkan hak untuk berfikir. Keimanan yang sebenar berangkat dari pemikiran yang kritikal. Apabila seorang ulama memberikan anda sebuah fatwa, anda harus menanyakannya: "Dari mana sumber fatwa itu? Buktikan padaku." Mendapat jawapan sahaja tidak cukup, anda harus tahu dari mana usul jawapan tersebut.

Apa yang umat Islam lakukan sekarang adalah mereka hanya mahu sekadar jawapan dan bersikap acuh tidak acuh dengan fatwa. Mereka mencari dan memilih ulama yang hanya akan memberi pendapat selari dengan kemahuan peribadi mereka. Akibatnya mereka cuma mendapat fatwa yang mereka cari, bukan fatwa secara keseluruhan. Perbuatan ini bukan nilai Islami - ia satu sikap yang tidak jujur. Umat islam perlu lebih jujur dan bersikap kritikal - dan teruskan membawa persoalan-persoalan dan cabaran-cabaran yang lebih besar - bukan hanya sekadar ibadah dimasjid dan sebagainya.

Para ilmuwan harus mendepani masyarakatnya. Ilmuwanlah yang harus memberi khidmat kepada masyarakat. Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Kadang-kadang kita terlalu mengagung-agungkan mereka dan secara tidak lansung - kita membenarkan mereka menguasai pemikiran dan tindak-tanduk kita.

Justeru penting untuk kita membajai semula benih-benih yang menyoal. Pada zaman Rasulullah, apabila baginda memberikan pendapat atau fatwa, para sahabat akan bertanya: "adakah ini datang dari Allah atau darimu ya Rasulullah?" Jika baginda berkata: "Ini pendapatku", maka perbincangan dan perdebatan akan menyusul selepas itu. Sekiranya ia datang dari Allah, tiada masalah.

Barangkali saudara pernah dengar tentang tuntutan penerbitan Katolik, The Herald untuk memakai kalimah 'Allah' dalam rencana-rencana mereka. Pihak kerajaan tidak bersetuju dengan tuntutan ini. Apa pandangan saudara?

Sekiranya anda melawat negara-negara Arab, anda akan dapati bahawa kalimah 'Allah' digunakan oleh setiap warga Kristian - samada yang Koptik mahupun yang lain-lain. Bagi kami, Allah lah yang mengutuskan nabi-nabi - seperti Nabi Musa, Nabi Isa, dan Nabi Muhammad kepada umat manusia. Dalam bahasa arab, kita menyebut "Allah", dalam bahasa Inggeris kita kata "God" dan orang-orang perancis pula memanggilnya sebagai "Deus".

Pokoknya adalah: hanya ada satu Tuhan, Tuhan yang Maha Esa. Bahasa hanya sekadar ruang untuk kita terjemahkan kedalam dunia untuk disebut. Walau bagaimanapun, terdapat juga sesetengah ulama dari golongan literalis seperti Salafiya-al Harfiyat mengatakan bahawa Allah adalah sebuah nama yang khusus.

Kebanyakan umat islam menggunakan 'God' dalam bahasa inggeris dan perkataan lain yang membawa erti yang sama dari bahasa lain untuk ditujukan kepada 'Tuhan'. Allah bukanlah tuhan orang-orang arab sahaja - Allah tuhan bagi sekalian makhluk dan setiap insan berhak untuk merujuk namanya. Itulah apa yang kami cuba sampaikan.

Oleh itu tiada masalah sekiranya kita mengguna-pakai "God" atau "Deus", atau apa-apa nama dari bahasa lain. Tuhan bukanlah sesuatu yang terikat dengan satu-satu bahasa.

Apabila orang kristian arab menggunakan bahasa arab dalam injil mereka, mereka menulis "Allah" untuk berbicara tentang tuhan. Jadi anda tidak boleh menyekat hak mereka untuk menggunakan kalimah ini kerana hal ini sendiri sudah menjadi amalan sejak berkurun-kurun lamanya. Bagi mereka, tuhan itu Allah dan Allah itu tuhan.

Dalam Kristian Roman Katolik pun, mereka tidak memakai nama "Allah" untuk merujuk kepada Nabi Isa. Tiada masalah disitu. Dan walaupun mereka menganuti fahaman Trinity, tuhan wujud dalam bentuk tiga-dalam-satu, tetapi tidaklah pula mereka keliru antara satu tuhan dengan tuhan yang lain. Jika itu tidak menimbulkan masalah kepada mereka, maka ia juga sepatutnya tidak menimbulkan masalah kepada kita.

Walau bagaimanapun, kita juga harus ingat bahawa Kristian, tanpa mengira tradisi keilmuan mana yang mereka ikuti, mempercayai konsep Trinity. Setiap daripada mereka punyai pandangan dan pemahaman yang berbeza-beza tentangnya.

Adakah saudara akan menggelar diri sebagai muslim yang bersederhana?

Saya kurang gemar dengan istilah ini. Ia terbit dari penjajah-penjajah (dari zaman penjajahan) yang sentiasa mempunyai sudut pandang binari terhadap masyarakat yang dijajahnya - samada yang baik atau jahat, sederhana mahupun pelampau.

Sesiapa yang menentang penjajahan akan ditohmah sebagai 'jahat' atau 'pelampau', manakala siapa yang menuruti setiap arahan mereka akan direstui gelaran 'baik' dan 'sederhana'. Saya rasa itu tidak masuk akal.

Sudah tentu anda sedar terdapat terlalu banyak literalis dan formalis di kalangan umat Islam di Malaysia dan dilain-lain bahagian didunia. Adakah anda mengatakan bahawa ia adalah salah bagi umat Islam untuk menjadi seperti itu dan bahawa terdapat keperluan bagi mereka untuk menjadi lebih dari sekadar literalis?

Golongan literalis melihat al-Quran dan hadith dalam cara yang amat mudah. Saya tidak mengatakan bahawa itu menjadikan mereka 'kurang' Islam. Mereka masih muslim. Tetapi mungkin, dalam kesetiaan literal mereka itu, mereka terlepas pandang matlamat-matlamat asal islam itu sendiri.

Saya mahu terus setia kepada maksud teks agama tetapi pada waktu yang sama,  saya juga mahu penyelesaian untuk tuntutan zaman saya. Jadi, aliran pembaharuan di sini tidak jauh lari daripada amalan zaman para sahabat - mereka lebih menumpukan perlaksanaan matlamat berbanding membaca sumber-sumber islam secara harfiah. Itulah apa yang kami sedang cuba ikuti.

Dalam teks tradisi keislaman sendiri terkandung matlamat-matlamat islam dan makna-makna yang perlu kami cakna. Antara dua itu, pemikiran kritikal berdiri dicelahnya - sebuah proses dialektik - dan disinilah tersandarnya tunjang utama aliran pembaharuan.

Kita perlu kembali ke masa silam untuk mencungkil daya pemikiran dan keyakinan para sahabat yang terawal. Hari ini umat islam kurang yakin untuk mendalami teks islam dan menyediakan penyelesaian kepada cabaran-cabaran moden. Adakah teks-teks islam hanya dipersempitkan untuk bacaan semata dan bukan untuk membawa perubahan kepada dunia? Kita membacanya sepanjang malam namun kita lansung tidak mengubah apa-apa sepanjang hari.

Untuk mengubah dunia, kita membutuhkan pemikiran yang kritikal - kewajaran serta kefahaman yang jitu. Kita perlu memastikan jiwa dan raga tidak terus terlena sepanjang waktu. Inilah apa yang kita perlukan, sebuah kesedaran. Itulah asasnya.

Anda cucu kepada Hasan al Banna dan kerana itu banyak orang di Barat mempunyai tanggapan yang berbeza daripada apa yang anda cuba perjuangkan. Bagi mereka, beliau (Hassan) seorang fundamentalis, pelampau, dan anda cuma menyambung apa yang dibawakan datuk anda dalam cara yang lebih halus. Bagaimanakah saudara menangani tanggapan tersebut? 

Saya kira kebanyakan orang yang bercakap tentang datuk saya lansung tidak pernah membaca dan memahami peribadinya. Saya tidak akan membiarkan orang mengadili datuk saya hanya dengan tanggapan yang cetek. Perlu diingat bahawa hanya 5% daripada apa yang dia tuliskan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Cuba selami apa yang beliau kata dan lakukan. Untuk seseorang yang menentang penjajahan dan membina lebih 2000 sekolah, separuh darinya untuk pelajar perempuan pada waktu yang dimana ini bukan satu kebiasaan adalah menakjubkan.

Pernah ada orang menanyakan datuk dan nenek saya bagaimana untuk mereka bisa menghantar anak perempuan mereka ke sekolah dan anak perempuan berkenaan ialah ibu saya. Inilah cara datuk saya. Apabila dia, sebagai contoh, menggalakkan amalan sufi yang bersifat kerohaniah - yang dimana terus membuahkan lebih 1500 pertubuhan diserata negara, bukankah itu sesuatu yang perlu kita beri penghormatan?

Jadi, kepada semua yang menghakimi beliau ketika beliau sedang menangani masalah-masalah zaman 1930-an dan 1940-an, saya akan mengatakan ini sesuatu yang tidak adil. Dan lebih mustahak, janganlah anda menghukum seseorang jika anda lansung tidak pernah membaca karya-karyanya dan hanya bergantung kepada apa yang musuhnya (penjajah inggeris) lemparkan terhadap beliau.

Saya tidak mempunyai masalah apabila orang mengaitkan saya dengan datuk saya kerana itu adalah fakta. Tetapi saya sedang cuba untuk mengusulkan pemikiran saya sendiri dan saya meminta supaya masyarakat umum menilai pandangan saya dan membaca apa yang saya cuba sampaikan.

Catur dan seorang perempuan bernama Susana Soca.

$
0
0
Jorge Luis Borges,

Baru-baru ini aku sedang membaca The Sonnets karya si penyair buta, Jorge Luis Borges. Beliau dilahirkan di Buenos Aires pada tahun 1899 dan diraikan di seluruh dunia sebagai sasterawan pasca moden, Bapa Magic Realism, serta pencetus utama kelahiran novel-novel Amerika Latin pada tahun 1960-an, walaupun beliau sendiri tidak pernah mengarang novel. 

Jadi di bawah adalah terjemahan bebas puisi 'Chess' dan 'Susana Soca' yang terkandung dalam kumpulan puisi The Sonnets. Maafkan aku kalau ada kekurangan atau makna-makna yang disampaikan tidak hampir, tetapi seperti Borges kata sendiri, "penerjemahan itu seperti penciptaan semula, dan ia adalah tanggungjawab penterjemah untuk menambah atau mengubah kalau perlu, termasuklah untuk tidak setia kepada teks untuk mencungkil makna-makna tersirat dalamnya."

Jadi ehem, selamat membaca!

Catur.

I.

Di sudut bilik, dua pencatur duduk tekun
Menggerakkan askar demi askar ke depan.
Sampai subuh mereka terikat dengan permainan ini
Ke dalam kancah perang
Antara dua warna
Pedang dan perisai terhunus bersama.

Dan sihir pun terpantul dari bentuk-bentuknya –
Kota Homeric, kuda-kuda kencang,
Ratu srikandi, Raja angkatan tentera,
Gajah-gajah serang condong dan bidak langgar musuh.

Seusai tamat permainan
Dan apabila masa menelan mereka
Upacara itu pasti berlangsung lagi.

Di Timur, api perang meletus
Seluruh dunia jadi sandiwara
Seperti permainan cinta
Pertarungan ini berterusan selamanya.

II.

Raja kecut, gajah-gajah licik, Ratu srikandi,
Kota merempuh dinding, dan para bidak  bertikaman –
Atas medan berkotak hitam – putih
Mereka bermuka dan berperang berhabisan.

Askar-askar ini tidak tahu bahawa
Nasib mereka telah dikuasai tangan si pencatur
Yang menghurai nasib gelap mereka.
Tak terlintas di benak akan takdir keras
Mengawal kehendak dan merancang pertempuran
Maha dahsyat.

Pencatur, bagaimanapun, juga adalah tahanan
(itu kata Omar) di atas padang papan catur yang lain
Di mana malam hitam dan siang putih silih berganti.

Tangan tuhan menggerakkan para pencatur
Dan dia kepada buah caturnya
Tetapi Siapa yang di balik Tuhan
Yang mengilhamkan segala debu, masa,
 mimpi, dan sengsara?


Susana Soca.


Dia melihat matahari terbenam menumpahkan cahaya
dengan penuh kasih
dia teggelamkan sukmanya
ke dalam  nyanyian-nyanyian syahdu
atau di celah kalimah-kalimah rindu.
Takdirnya telah berputar lagi
Kali ini bukan merah menyala tetapi kekelabuan
Yang menggerakkan dengan selera yang tekun,
Disusuli ragu dan juga rasa halus.
Dia tidak berani menjejak ke dalam
Labirin ini, hanya pandang kerumitannya dari luar -
Segala kegawatan, bentuk, dan impian
Yang memantulkan wanita lain di balik cermin.
Dan Tuhan yang berdiri di luar doa dan harapan
Mengabaikannya,
Kepada harimau buas bernama
Api.

Jangan baca the autumn of the patriarch.

$
0
0
i.

(ini ulasan yang aku kutip dari goodreads)

Barangkali Marquez memang suka bergurau.


Kali pertama aku lihat kulit muka buku ini, aku tertanya apakah yang nak cuba disampaikan dengan gambar seorang general tua buncit yang terbaring atas piring dihiasi sayur dan diangkat orang-orang suruhan ini, kemudian aku terlihat perkataan surreal terpampang di muka belakang dan aku pun tahu, ah, tuhanku yang maha pengasih, ini buku melawan logik, dan sinopsis di belakangnya menghidangkan kepada kita cerita pasal seorang diktator kejam yang memerintah di sebuah tempat antah berantah sekitar carribean, dan dia pun kata ok johan cubalah baca buku ini semoga kau dapat mencermati sastera-sastera amerika latin dan aku pun mengangguk. rupa-rupanya buku ini bukanlah sepatutnya jadi buku, ya tuhanku yang maha penyayang, tetapi sajak, seperti marquez sendiri akui ini sajak mengenai solitary of power, memantulkan sebab-akibat apabila kuasa pemerintahan dipertanggungjawabkan atas bahu seorang lelaki, dan agama pun diporak-perandakan, ibu yang mati dijadikan santos, kanak-kanak dibakar bom dan ditenggelamkan, dan ribuan dan ribuan mati dalam kegilaan perebutan kuasa, dan apabila aku sedang membaca semasa menunggu pesawat dari Hong Kong, akhirnya aku sedar bahawa selama ini tanggapan pertamaku mengkhianatiku kerana kita sentiasa salah apabila kita menghakimi sesebuah buku hanya dengan melihat kulitnya, kerana yang terbaring di atas piring itu bukanlah kau, tuan jeneral, tetapi pembelot yang kau percayakan, mejar jeneral Rodrigo De Aguilar, dan kami di meja makan menanti dinner pun terkejut apabila kami menunggu sahabat kami itu tak datang-datang dan akhirnya kau, tuan jeneral, membawa jasad bekunya di atas piring untuk kami santap, sambil kau berseloroh, eat hearty gentlemen untuk mengecilkan keberanian kami untuk terus memberontak ketamakan kau, tuan jeneral, oh tuhan kekasih hatiku yang meminggirkanku, ini puisi yang panjang dan tak berperenggan, dan ini cerita tentang aku sebelum diratah burung-burung hering, dan kalau kau larat membaca ulasan aku sampai sini maka kau layak mengangkat buku ini dan semoga Leticia Nazarano si rahib pelacur itu ada mengajarkanmu menulis dan membaca, tuan jeneral.


ii.





Ini zine yang aku, @irwansumadi, @Nellhanan , dan @NiesaHana terbitkan bersama. Lakaran di mukanya pula dilukis @Qstnmlk. Ini zine yang menampilkan himpunan puisi, kispen-kispen, dan travelog ringkas mengenai kota Beijing.

ikuti perkembangan kami di twitter yuolls! @mtmrfsszine

Anak, Sylvia Plath.

$
0
0
Sylvia Plath ini cantik orangnya.

Baru-baru ini aku ditugaskan mepersembahkan dan membedah puisi 'Child' karangan Sylvia Plath di dalam kelas kuliah. Ini puisi terakhir Sylvia sebelum dia meracuni dirinya dengan karbon monoksida di dapur dua minggu kemudian. Puisi ini diitulis untuk anak keduanya, Nicholas yang baru setahun umurnya. Ia memberi gambaran kepada kita tentang perasaan dan jiwa Sylvia yang semakin rusuh dihenyak tekanan-tekanan hidup ketika itu.

 Di sini aku tampilkan sekali dengan terjemahan bebas. Enjoy.

Child.

Your clear eye is the one absolutely beautiful thing.
I want to fill it with color and ducks,
The zoo of the new

Whose names you meditate ---
April snowdrop, Indian pipe,
Little

Stalk without wrinkle,
Pool in which images
Should be grand and classical

Not this troublous
Wringing of hands, this dark
Ceiling without a star.


terjemahan:

Tiada yang setara jernih matamu, anakku.
Akan kumuatkan dengan warna-warna keindahan, itik-itik comel,
dan isi Zoo yang dibuka baru.

Akan kuajarkan nama-nama bunga
April Snowdrop, Indian pipe,
Kerdil

Seperti tangkai hijau muda
kolam matamu akan menjumlahkan
kecantikan irama dan dendang-dendang tua.

Tapi segala itu bukan dengan tangan berkedut ini,
bukan dengan siling kelam
tak berbintang sini.

Apa yang kau akan ambil dan larikan semasa rumah kau terbakar?

$
0
0
Bagaimana kalau suatu hari nanti rumah kau terbakar? Apakah barang yang kau akan larikan sebelum keluar menyelamatkan diri daripada mati paru-paru dihimpit asap atau jasad rentung hangus? Adakah buku-buku koleksi? Adakah album-album lama? Atau adakah benda-benda kecil yang mengandungi nilai-nilai sentimental peribadi? Begitulah persoalan yang sering bermain di minda Foster Huntington apabila beliau mengembara dan berjumpa orang dan menggambar dan mengumpulkan foto-foto untuk dijilidkan menjadi sebuah buku berjudul - The Burning House.

Dia menulis pada bab pengenalan:

Today, developed countries are consuming more than ever before. This culture of consumption is often fueled by people’s desire to define themselves by the possessions they amass. The Burning House: What Would You Take? takes a different approach to personal definition. By removing easily replaceable objects and instead focusing on things unique to them, people are able to capture their personalities in a photograph.

Untuk bacaan lanjut boleh klik sini.

Ada yang akan melarikan kasut. Ada yang akan melarikan patung permainan. Tidak kurang juga mereka yang akan melarikan kucing kesayangan mereka sebelum dihempap atap yang dindingnya rapuh dijilat api. Tetapi mengapa manusia akan mengambil barang-barang ini dulu sebelum menyelamatkan diri mereka? Bukankah nyawa lebih penting daripada objek-objek ini? Mungkin, ya. Tetapi bagi sesetengah orang, objek-objek inilah yang mentakrifkan sifat-sifat dalaman serta menjadi sebahagian besar daripada serpihan-serpihan hidup mereka. Pendek kata, ia seharga dengan nyawa mereka sendiri. Mereka tidak sanggup hidup tanpanya.

Aku cuba bayangkan sekiranya rumahku yang sekarang (di Shah Alam) ditimpa kebakaran, maka barang-barang inilah yang akan aku cari dan larikan dulu untuk diselamatkan.



1. Kamera DSLR Canon 500 D (yang digunakan untuk menangkap ini)
2. Telefon Nokia (ia bertahan lebih lama dari telefon-telefon canggih yang pondan)
3. Album Come Away With Me - Norah Jones (wajib)
4. Foto semasa kecil bersama ibu.
5. Surat yang dikirim teman wanita.
6. Tali leher Maktab Tentera Diraja (alma mater)
7. Minyak wangi Polo Red (juga dihadiahkan oleh teman wanita)
8. Tikus kuning yang entah aku tidak tahu namanya (mewakili laptop dan charger kerana ia terlalu besar)
9. Beg sandang Camel Active.
10. Catatan-catatan peribadi.
11. Catatan Seorang Demonstran - Soe Hok Gie.
12. Ingin Jadi Nasrallah - Faisal Tehrani.
13. Dompet (yang terisi kad-kad penting dan sedikit duit untuk kelangsungan hidup)


Bagaimana pula dengan kau?

Antara Jamal Raslan, Sangkala Vadeh, dan Putrajaya.

$
0
0
Bukankah mereka sangat badass?

Petang tadi aku ke Festival Belia di Putrajaya dengan adik aku, Iddin. Bertolak dari Puncak Jalil dari jam satu setengah petang, singgah di Subway melahap chicken slice dan white chocolate macadamia, kemudian meneruskan lagi dengan memandu viva biru tua menuju ke presint empat. Matahari sedang memuncak. Panas meruap- ruap membasahkan dahi dan ketiak. Cahaya teriknya memancar ke seluruh jihat tanpa belas kasihan walau sedikit pun.

Aku parkir berhampiran Mahkamah Putrajaya. Di situ berlangsung karnival Jom Heboh dengan segala mat berkolar tegak dan minah berambut hazel. Tersusun booth-booth makanan, permainan, maklumat-maklumat siri televisyen, dan entah-syaitan-apa. Aku tak minat. Aku berjalan iseng-iseng sekitar karnival - melihat puak-puak mat skateboard, perempuan russia mendukung boneka guido, pakcik-pakcik superbike berjambang lebat, keropok lekor, aiskirm, dan kawasan perkhemahan yang tergantung banner di depannya "KONTINJEN KELANTAN". Aku tidak tahu apa maksud semua itu. Bosan. Bosan. Bosan. Aku hampir-hampir putus asa dengan karnival belia dan Khairy Jamaluddin sampailah mataku tertangkap papan tanda PEPERANGAN BINTANG di sebuah bangunan berkaca. Mataku berkaca-kaca. Minatku melonjak semula. Macam, siapa tak pernah dengar Peperangan Bintang, kan? Itu Star Wars yang ditayangkan dalam bentuk Wayang Kulit!  Ya Allah, mukjizat apakah ini?

Bangunan berkaca tersebut dipenuhi dengan acara-acara kesenian. Ada laungan puisi, kotak gelap irama, teater, dan, ceramah-ceramah yang diselia TedxKL. Jadual senarai penceramah menunjukkan nama 'Jamal Raslan' untuk sesi jam tiga petang. Aku lihat jam dan jarrum menunjukkan tepat pada nombor tiga. Ah, just what I need for this moment.

Banyak yang aku tidak tahu tenang mamat Jamal Raslan ini. Yang kutahu dia seorang penyair dan dia pernah jadi curator twt_buku beberapa minggu lalu. Kawanku di fakulti pernah mengatakan baawa Jamal Raslan dan Karim Raslan yang suka tulis 'ceritalah' itu ada pertalian. Aku diamkan saja sebab aku rasa dia bohong. Tetapi sudah tentu kita tidak mahu cerita ini menyimpang jauh. Baik. Maafkan aku. Tidak banyak yang aku boleh ingat mengenai ceramahnya petang tadi. Aku senaraikan saja apa yang terpacul di ingatanku di bawah ini:

1. Perbezaan sifat bahasa melayu dan bahasa inggeris. Bahasa melayu lebih berlapis, berkias, serta gaya pembacaannya lembut. Ia ada dengan memerhati dunia. Manakala Bahasa inggeris pula lebih langsung, bersifat kritikal disaluti falsafah, gaya pembacaannya lantang-laju, serta ia ada dengan mengamati dunia. Sambung Jamal, apa yang dimaksudkan dengan memerhati dunia adalah mengambil dunia seperti sediakala, manakala mengamati pula lebih cenderung kepada hal-hal khusus - mencerna dan berfikir dan menerbitkan dalam laungan puisi.

2. Puisi harus ada untuk meluahkan jiwa manusia (dia tidak gemar perkataan ekspressi). Untuk menerangkan kepada kita hal-hal yang cantik dalam bahasa yang singkat dan indah. Dia mengutip cerita seorang budak empat belas tahun berambut kerinting yang sering cemburu melihat rambut lurus kawannya bersyair: my life is a series of hair product. Menarik, bukan?

Ada lagi beberapa hal menarik yang diungkapkan Jamal Raslan semasa ceramahnya tadi tetapi aku tak sempat mencatit. Kalau engkau orang nak tahu sangat, pergilah cari tumblr atau kekicaunya, kalau ada.

Ini contoh laungan puisi beliau:


Sesudah habis ceramah, aku ke kotak gelap irama pula untuk tengok-tengok. Terserempak dengan Wan Nor Azriq dan Ainunl Muaiyanah. Kedua-dua pernah hadir untuk forum 'Masih Bertahankah Sastera Melayu?' yang dianjurkan Fakulti Pengajian Media semester lalu. Ainunl kata dia akan menghadiri forum anjuran Buku Jalanan malam ini sebagai panelis. Berbual-bual sekejap sebelum berpisah. Jam lima, pertunjukkan wayang kulit 'Peperangan Bintang' pun mula dibuka.

Acara dimulai dengan pertunjukkan wayang kulit tradisional melayu asli. Kelir diwarnai dengan Hanuman, Ramayana, entah-siapa, dan entah-siapa. Pencahayaan yang hadir dari belakang memantulkan patung-patung dalam susana yang cemerlang sekali. Itu belum lagi disertai dengan alunan muzik Kelantan yang menyertai Tok Dalang sekali-sekala semasa dia bercerita. Aku tersenyum mengenangkan betapa 'seninya' orang-orang melayu terdahulu dalam mengadunkan patung, cahaya, bayang, dan muzik menjadi sandiwara yang kaya falsafahnya. Sayang sekali orang-orang Malaysia moden tidak menghargai peninggalan-peninggalan pribumi ini. Hati mereka sudah berpaut pada Kim Kardashian dan Big Bang dan umat melayu khususnya memang sudah dilaknat untuk tidak mempelajari warisan bangsanya.

Seusai persembahan wayang kulit tradisional melayu asli itu, persembahan Peperangan Bintang pula datang menyusul. Watak-watak Star Wars diterjemahkan ke dalam bentuk dan nilai-nilai kenusantaraan. Sebagai contoh, Anakin Skywalker ditukar nama Perantau Langit. Darth Vader menjadi Sangkala Vader dan giginya dilengkapi taring dan kuku-kuku tajam, menyerupai syaitan Ramayana. Hal yang sama juga berlaku kepada Storm Troopers, Princess Leila, R-2, dan lain-lain. Kata penggerak Peperangan Bintang Tintoy Chuo, ini adalah usaha menggabungkan seni-seni tradisional dengan nilai-nilai moden untuk menarik minat anak-anak muda semula terhadap wayang kulit. Aku kira itu satu perancangan yang bagus dan kreatif. Bukankah seni-seni lama harus dibawa semula dengan nafas yang segar supaya ia kekal relevan dengan masyarakat?

Ini preview Peperangan Bintang:



Kalau kau orang ada masa, pergilah tonton. Lagi-lagi untuk fanboy Star Wars atau budak-budak yang acah fanboy Star Wars.

fin.
Viewing all 62 articles
Browse latest View live