Jadi semalam aku, Danial Ariff, Amir Syafiq, dan Dan Ee pergi tonton Ulek Mayang anjuran PUSAKA di Publika. Pukul enam setengah gerak dari Seksyen U12, pungut Dan Ee yang sudah menunggu di KTM Padang Jawa, dan memakan nasi ayam penyet di gerai Nasi Bukit (aku tak pernah tahu apa nama kedai ini sebenarnya) yang terletak di bahu jalan seksyen 17. Tempat ini masakannya sedap. Tak ramai orang. Suasana kampung pun masih pekat. Kekadang bila Pecel Lele dah jadi arus perdana sangat, aku akan lari ke Nasi Bukit untuk mencari ketenangan. Jauh daripada hiruk-pikuk budak-budak UiTM yang mengerumun macam sekawanan angsa.
Tapi aku tak tulis ini untuk Nasi Ayam Penyet. Aku rajinkan diri membuka blog, menulis sambil mendengar Sam Cooke, mengumpul foto-foto semalam untuk aku cerita tentang Ulek Mayang.
Ya, lagu berhantu yang cikgu engkau cerita itu dululah.
Kalau bukan sebab persembahan-persembahan budaya, aku memang takkan jejak kaki ke Publika. Tempat itu gila! Kalau sini Afrika Selatan, maka Publika boleh jadi ibarat Cape Town. Bangunan-bangunan cantik, restoran-restoran mewah, bar dan pub, serta kedai-kedai yang engkau takkan pernah dengar namanya. Bak kata Alia, its the whitest place in Malaysia. Kalau budak-budak hipster ala instagram nampak tempat ini memang mereka akan selfie dua puluh empat jam tanpa henti. Penuh seratus gambar dengan muka mereka saja. Penyakit zaman pasca-moden. Ini aku tak tipu.
Untuk pengetahuan, Ulek Mayang ialah sebuah persembahan pemujaan laut yang diamalkan orang Terengganu kuno sebelum kedatangan islam. Ada banyak kisah yang memperincikan asal-usul pemujaan ini, yang paling menonjol adalah tentang sekumpulan nelayan yang pergi menjala ikan di tengah-tengah lautan. Pada mulanya, cuaca nampak baik dan ombak pula tak begitu ganas. Tetapi itu hanyalah sementara - kerana tak lama kemudian datang segulung ombak besar menerbalikkan sampan kecil mereka. Mereka tercampak dan hampir mati kelemasan. Bagaimanapun, entah dengan kuasa apa, mereka terhanyut dan terdampar di tepi pantai keesokan paginya. Seorang demi seorang sedarkan diri, kecuali seorang. Kawan-kawannya pun mendapatkan seorang bomoh untuk mengejutkan semula si pengsan itu dari tidur. Sewaktu itulah si bomoh mendapat tahu bahawa roh nelayan ini telah 'diculik' seorang puteri laut yang jatuh cinta terhadapnya dan kesedarannya sekarang bukan di tempat ini. Dia di tempat lain. Lalu si bomoh pun menyeru puteri laut untuk menuntut roh si nelayan pengsan semula. Tetapi si puteri enggan. Dia tak mahu mengalah. Maka terjadilah pertempuran besar antara si bomoh dan puteri laut. Pertempuran sengit itu memaksa puteri laut menyeru lima kakaknya lagi untuk membantunya menewaskan si bomoh. Dalam saat-saat getir itulah si puteri laut yang ketujuh, sulung dan paling cantik hadir - katanya: "Kutahu asal-usulmu. Yang laut balik ke laut, yang darat balik ke darat."
Bomoh yang terhutang budi dan rakan-rakan nelayan menyampaikan sembahan nasi berwarna kepada sang puteri, satu upacara yang kekal diamalkan sehingga kedatangan Islam, untuk menunjukkan rasa terhutang budi kepada semangat-semangat laut.
Persembahan semalam dimulakan dengan dendangan-dendangan lagu rakyat Terengganu. Bunyi-bunyian seruling, gendang, dan beberapa alat lain yang dimainkan menjadikan satu jam setengah itu sebagai satu pengalaman ethereal. Tak cukup dengan itu, penari-penari dari kumpulan penggiat seni juga turut memeriahkan suasana agar kelihatan bertenaga dan harmonis. Danial mencapai bahuku berbisik: Too much culture I feel like a yogurt. Aku ketawa. Hanya pada hujung persembahan barulah Ulek Mayang dipentaskan. Satu hal yang aku terpaksa akui: sewaktu nafiri ditiup dan puteri-puteri datang bertari-tarian melatari seorang bomoh dan seorang pesakit, bulu romaku jadi tegak. Ada suatu rasa yang 'lain' datang bertandang di atas ruang pentas itu. Sesuatu yang aku tak boleh terjemahkan ke dalam kata-kata.
Di bawah ini ada lampiran foto-foto yang aku sempat tangkap sebelum bateri DSLR kekeringan. Yang paling celaka adalah aku tak sempat langsung untuk menggambari pemujaan laut itu. Inilah padahnya bila engkau pergi tengok persembahan menarik tetapi tak periksa keadaan bateri sebelum bertolak.
Eddin Khoo, pengerusi PUSAKA memperkenalkan tujuan penubuhannya serta Ulek Mayang. |
Salah seorang penari tradisional melayu. |
Pemain seruling, gendang, etc |
Sepasang penyanyi yang comel belaka. |
Tammat.